Pas sudah ada plan B, sedia sebarang kemungkinan

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pas memberi gambaran sudah mempunyai perancangan lain atau Pelan B sekiranya UMNO dan BN enggan meneruskan sebarang kerjasama khususnya melalui Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Memetik Astro Awani, Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya bersiap sedia dengan sebarang situasi sekiranya tiada rundingan untuk sebarang kerjasama yang diharapkan.

Menurutnya, ini setelah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya baru-baru ini menggambarkan permuafakatan antara kedua-dua parti hanya boleh dilakukan selepas PRU15.

"Bagi kita itu isyarat jelas bahawa tidak ada permuafakatan di antara Barisan Nasional (BN ) dengan Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas pada PRU akan datang. Walau pun Pas masih lagi berusaha untuk hendak jalinkan persefahaman dan perundingan.

"Tetapi kita bersedia untuk 'worst case scenario' untuk tidak ada sebarang perundingan, kalau ada perundingan kalau ada persetujuan itu lebih baik, bagaimana formula saya sebut tadi, kalau ada rundingan akan lebih beri tekanan pada Pakatan Harapan (PH) sebenarnya, tetapi kalau tidak ada apa-apa persetujuan kita tidak ada masalah dan kita akan terus juga menghadapi PRU," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang kali ke-42 di Pusat Pengajian Darul Hadis, di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Sabtu.

Memetik laporan sama, Ahmad Fadhli menjangkakan tidak mustahil pembubaran tarikh Parlimen bagi membolehkan PRU15 akan dibuat dalam masa terdekat melihat kepada situasi semasa dan tekanan yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.

Namun Ahmad Fadhli percaya, Naib Presiden UMNO itu pastinya akan mengambil kira pandangan partinya terlebih dahulu sebelum memutuskan sebarang tindakan pembubaran Parlimen.

"Walau apa pun kita menghormati hak Perdana Menteri, sudah pasti kita jangka dalam membubarkan Parlimen ini, pandangan UMNO diambil kira, keutamaan kepada PM," katanya.

Ahmad Fadhli juga menyifatkan kini bukanlah masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, namun Pas bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!