Pertanian pintar transformasi sektor agromakanan
SERDANG - Pemodenan dan pertanian pintar merupakan pengubah keadaan (game changers) utama transformasi sektor agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memfokuskan pendekatan baharu berasaskan teknologi moden dan pembangunan mampan selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12, agenda pemodenan dan pertanian pintar juga antara fokus utama dalam memacu sektor agromakanan negara yang mampan, berdaya tahan dan berpacukan teknologi.
"Dalam hal ini, kerajaan akan memberi tumpuan berterusan kepada pemodenan sektor agromakanan bagi meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara di samping memacu pertumbuhan ekonomi demi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022, di sini pada Sabtu.
MAHA 2022 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu.
Menurut Ronald, kerajaan sentiasa mengolah pelbagai inisiatif dan usaha untuk menjamin kemampuan rakyat memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dan selamat pada harga berpatutan secara berterusan untuk Keluarga Malaysia.
Ronald berkata, MAHA 2022 menawarkan rangkaian kenalan perniagaan baharu bagi mempelajari kaedah dan inovasi pertanian terkini supaya masyarakat pertanian Malaysia cakna serta dapat mengambil bahagian dalam gerakan menerajui revolusi pertanian era IR 4.0 yang sedang berlaku di seluruh dunia.
Sehubungan itu, beliau berkata, pemilihan Tema MAHA 2022, "Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan" adalah tepat dan selari dengan komitmen kerajaan yang terus memberi tumpuan dalam agenda memperkukuh sekuriti makanan negara.
Beliau berkata, objektif utama penganjuran MAHA adalah untuk mempromosikan sektor agromakanan dan industri makanan dengan mengetengahkan kepelbagaian produk, kejayaan perusahaan serta pelbagai inisiatif pihak agensi kerajaan dan swasta.
Katanya, MAHA turut memberi sorotan utama kepada keseluruhan ekosistem dan rantaian nilai sektor pertanian selain menyediakan ruang untuk mempamerkan peluang perniagaan yang ditawarkan oleh industri agromakanan yang sedang berkembang pesat.
"Pada tahun ini, MAHA 2022 yang meliputi 22 segmen menjadi lebih istimewa kerana ia diadakan secara hybrid buat pertama kalinya, dengan acara platform langsung dan maya digabungkan.
"Diharapkan melalui gabungan pengalaman seunik ini, sektor agromakanan akan mendapat tambahan momentum dalam menjana pendapatan yang lebih tinggi untuk negara," katanya.
Pada malam majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan Anugerah Perdana Sektor Agromakan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut yang membawa pulang trofi, sijil serta hadiah tunai berjumlah RM50,000.
MAHA 2022, yang diadakan selama 11 hari bermula Khamis lepas, menyaksikan penyertaan lebih 1,500 reruai pempamer, dengan sasaran lebih sejuta pengunjung dengan RM250 juta potensi nilai jualan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!