Pesara pilih seni 'decoupage' tambah pendapatan
MELAKA - Minat yang mendalam terhadap seni 'decoupage' sejak lebih 30 tahun lepas akhirnya dapat direalisasikan sebagai salah satu sumber pendapatan buat pesara, Saedah Jeragan, 63, yang kini aktif dalam industri seni kreatif itu kira-kira empat tahun lepas.
Saedah yang menghasilkan pelbagai produk kraf menggunakan tisu khas yang diimport dari Jerman itu berkata, produk seni 'decoupage' kini mendapat permintaan yang tinggi dan sesuai dijadikan sebagai cenderamata dan barangan perhiasan rumah yang terdiri daripada mangkuk tingkat, tudung saji, kotak tisu dan botol air dan beg.
Usahawan kecil dan sederhana yang menggunakan platform Facebook dan Instagram di bawah nama 'tiaraartcraft' itu berkata, seni 'decoupage' adalah teknik gunting dan tampal (lekat) menggunakan tisu pelbagai corak dan warna pada pelbagai permukaan seperti plastik, kain, besi, kayu dan porcelain.
"Saya memang minat pada seni ‘decoupage’ ini sejak muda namun disebabkan komitmen pada keluarga dan juga kerja hakiki sebagai penjawat awam, hasrat untuk serius dalam bidang kraf terpaksa saya lupakan.
"Namun Alhamdulillah selepas bersara empat tahun lepas, saya tidak berlengah lagi untuk serius menghasilkan pelbagai produk kraf dan secara tidak langsung dapat menambah pendapatan selain mengisi masa lapang dan mengembangkan bakat serta kreativiti seni dalam diri saya ini," katanya ketika ditemui Bernama pada Kembara RIUH Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: RIUH NAU! di Dataran Pahlawan di sini pada Sabtu.
Ibu kepada empat anak itu berkata, seni 'decoupage' juga boleh dijadikan salah satu terapi buat dirinya selain meningkatkan fokus kerana penghasilan produk menggunakan teknik seni itu memerlukan ketelitian bagi mendapatkan hasil yang cantik dan sempurna.
Beliau berkata, justeru, harga bagi sesuatu produk kraf seni 'decoupage' adalah berpatutan dengan kreativiti serta kualitinya dan produk yang dihasilkannya dijual pada harga antara RM15 hingga RM150 mengikut jenis produk dan saiz.
"Secara purata, saya mampu menjana pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan namun pendapatan berkenaan mampu mencecah hingga RM5,000 sekiranya mendapat tempahan yang banyak untuk program tertentu dan jika diusahakan secara lebih serius," katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu, golongan muda, suri rumah atau ibu tunggal turut digalakkan menceburi bidang seni 'decoupage' dalam usaha meningkatkan pendapatan bulanan mereka atau menjadikan industri itu sebagai sumber utama pendapatan mereka.
Katanya, kerajaan khususnya menerusi Kraftangan Malaysia sering memberi bimbingan dan menyediakan pelbagai platform promosi untuk membantu usahawan sepertinya mengetengahkan produk mereka.
"Banyak sebenarnya ruang dan peluang yang kerajaan sediakan menerusi pelbagai agensi... jadi kita sebagai usahawan perlu cepat dan pandai untuk memanfaatkannya," katanya.
Usahawan dari Ayer Keroh itu berkata, turut menawarkan kelas seni 'decoupage' kepada mereka yang berminat untuk mempelajari seni berkenaan yang memerlukan teknik yang betul untuk menampal tisu 'decoupage' pada barangan atau produk pilihan mereka.
"Dahulu, susah untuk mendapatkan ilmu tentang teknik atau perkembangan seni decoupage ini, namun kini semuanya di hujung jari... menerusi YouTube, Kumpulan WhatsApp. Namun saya bersedia membantu mereka yang ingin belajar tentang teknik ini secara serius," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!