KDEBWM, SME Bank bersihkan rumah anak yatim, didik jaga kebersihan

Ramli (enam dari kanan) bersama sukarelawan yang menyertai gotong-royong di Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Subang Jaya pada Sabtu.
Ramli (enam dari kanan) bersama sukarelawan yang menyertai gotong-royong di Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Subang Jaya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama SME Bank mengadakan program kelestarian gotong-royong membersihkan empat buah rumah anak-anak yatim di Selangor pada Sabtu.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, seramai 180 sukarelawan daripada kedua-dua pihak terbabit terlibat dalam program berkenaan yang dilakukan secara serentak di empat lokasi rumah anak yatim yang diselia Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Menurutnya, empat rumah yang terlibat dalam program tersebut ialah Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Subang Jaya, Rumah Kasih Harmoni di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh dan Rumah Bakti Nur Syaheera di Taman Jaya Baru, Cheras.

Beliau berkata, program tersebut diadakan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan memelihara alam sekitar selain menggalakkan semangat kesukarelawan dalam kalangan warga kerja KDEBWM dan SME Bank.

"Program ini selaras dengan usaha kerajaan Selangor dan KDEBWM dalam mendukung Dasar Kebersihan Negara serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“KDEBWM turut menyediakan kemudahan peralatan pembersihan, tong 'Roll-On-Roll-Off' (RORO) bagi kutipan sampah pukal seperti perabot lama.

"Di samping itu, KDEBWM turut menyumbang tong kitar semula kepada empat rumah anak-anak yatim terlibat bagi memudahkan mereka untuk melakukan kitar semula,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ramli berkata, antara pengisian program di keempat-empat lokasi berkenaan adalah sesi taklimat ringkas mengenai kepentingan kitar semula yang diberikan kepada anak-anak yatim oleh wakil KDEBWM.

Ujarnya, wakil Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) dari SME Bank turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai SDG kepada anak-anak yatim.

Turut hadir ke program tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi SME Bank, Zarina Nor Ismail; Ketua CEDAR, Amirul Imran Ahmat; Ketua Pengurusan Operasi SME Bank, Mohd Razali Malek; Ketua Rangkaian & Operasi Perbendaharaan SME Bank, Athiqah Ayub dan Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!