Wira APG 2022 bawa pulang 20 emas dari Solo

Liek Hou ketika menentang Faris dalam acara perseorangan lelaki akhir (SU5) pada APG 2022 Solo Auditorium Universiti Muhamadiyah Surakarta pada Jumaat. - Foto Bernama
Liek Hou ketika menentang Faris dalam acara perseorangan lelaki akhir (SU5) pada APG 2022 Solo Auditorium Universiti Muhamadiyah Surakarta pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA menutup saingan hari terakhir Sukan Para ASEAN (APG) 2022 di Solo, dengan menyambar 12 butir emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Kejayaan itu menyaksikan Kontinjen Malaysia yang dibarisi saiz kecil 70 atlet kali ini, meraih 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa, sepanjang enam hari pertandingan berlangsung selepas upacara perasmian pada 30 Julai (Sabtu) lepas.

Ia juga melebihi sasaran sekurang-kurangnya 16 pingat emas yang ditetapkan sebelum bertolak ke kota Jawa Tengah ini.

Pingat emas bersejarah gandingan Mohammad Yusshazwan Yusuf-Abu Samah Borhan dalam acara beregu lelaki tenis berkerusi roda hari ini, menjadi pelengkap kejayaan kontinjen negara di Solo, apabila ini merupakan kali pertama Malaysia menjuarai acara itu di APG.

Mereka melakar sejarah selepas mengalahkan wakil Indonesia, Kevin Sanjaya-Agus Fitriadi 6-4, 6-3 mengatasi cabaran cuaca panas dan kelebihan tuan rumah di Lapangan Tenis Manahan di sini.

Di Edutorium Universiti Muhammadiyah Surakarta (UMS), kem badminton menutup kempen dengan mengutip tiga emas, satu perak dan empat gangsa.

Juara Paralimpik Tokyo 2020 Cheah Liek Hou, mempertahankan gelaran perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) selepas menewaskan Faris Ahmad Azri 21-18, 21-14.

Pemain badminton berkerusi roda Muhammad Ikhwan Ramli turut cemerlang meraih emas perseorangan lelaki WH1, serta beregu lelaki WH1-WH2 bersama gandingan Noor Azwan Noorlan.

Skuad powerlifting juga beraksi cemerlang untuk menghadirkan tiga kilauan emas - dua menerusi Nicodemus Manggoi Moses bagi acara keseluruhan dan angkatan terbaik kategori lelaki 88 kilogram (kg), manakala Bryan Junency Gustin menjuarai acara keseluruhan lelaki 80kg.

Skuad renang juga menutup kempen mereka dengan cemerlang, apabila Muhammad Nur Syaiful Zulkafli muncul juara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal), Abd Halim Mohammad ungguli acara 50m kuak dada lelaki SB8 (kecacatan fizikal).

Di lapang memanah Stadium Kota Barat, pemanah compound G Daneshan beraksi cemerlang untuk meraih dua emas, iaitu menerusi acara berpasukan campuran bersama gandingan Nur Jannaton Abdul Jalil dan berpasukan lelaki dengan Wiro Julin.

Pasukan ping pong juga menyumbang dua pingat pada hari ini, dengan Jennahtul Fahmi Ahmad Jennah atasi rakan sepasukan Mohd Hazlin Abdullah, untuk meraih emas acara perseorangan lelaki Kelas 11 (masalah intelektual).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!