Joe Ee dedikasi emas buat jurulatih
JUARA disiplin bola dan riben Ng Joe Ee mendedikasikan dua pingat emasnya pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham kepada dua jurulatihnya yang berasal dari Rusia.
Joe Ee, yang mencipta sejarah sebagai gimnas Malaysia pertama membawa pulang dua emas individu, mengakui beliau berasa agak ralat dan sukar bertanding di sini tanpa kehadiran kedua-dua jurulatih itu buat pertama kali sejak beliau menyertai temasya atau kejohanan sukan.
Selepas jurulatihnya dihalang daripada memasuki United Kingdom (UK), Joe Ee yang pertama kali beraksi pada Sukan Komanwel, gembira kerana latihan secara dalam talian yang dijalankan bersama mereka membuahkan hasil.
"Kemenangan gimnas itu turut membantu Malaysia mencapai sasaran enam emas pada temasya kali ini.
"Jurulatih sering mengingatkan saya semua kesilapan, menasihatkan saya untuk mengurangkannya dan buat yang terbaik menerusi latihan dalam talian.
"Saya sangat gembira sekarang, saya tak jangka langsung akan menang emas tetapi saya percaya semua kerja keras sebelum temasya ini telah membuahkan hasil. Kemenangan ini juga untuk kedua ibu bapa saya yang tidak jemu menyokong dengan menghantar saya berlatih sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa dua jurulatih gimnastik Rusia bagi skuad gimnastik negara untuk temasya sukan itu mungkin menghadapi masalah visa.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedua-dua jurulatih itu mungkin berhadapan masalah berkaitan sekatan kemasukan yang dikenakan oleh kerajaan UK ke atas warga Rusia berikutan konflik Rusia-Ukraine.
Sementara itu, atlet berusia 16 tahun itu berkata, kegagalan membantu pasukan negara membawa pulang pingat dalam acara berpasukan dan all-around individu telah menyuntik semangatnya untuk mempamerkan aksi lebih baik pada hari kemuncak acara gimrama hari ini.
"Saya telah berjanji kepada semua untuk melakukan lebih baik pada final hari ini selepas kami gagal meraih pingat dalam dua acara sebelum ini. Lega, saya akhirnya berjaya mengatasi perasaan gementar beraksi di hadapan penonton yang ramai selepas dua hari,” katanya.
Joe Ee berkata, untuk misi seterusnya, beliau berharap dapat membantu pasukan negara merampas semula emas acara berpasukan pada Sukan Komanwel akan datang di Victoria selepas kali terakhir Malaysia memenanginya di Kuala Lumpur pada 1998, selain memberi fokus pada Sukan Asia di Hangzhou, China, tahun depan.
Beliau memulakan aksi hari ini dengan persembahan anggun di Arena Birmingham untuk mencatatkan 29.700 mata dalam disiplin bola, sekali gus mengatasi gimnas Kanada Suzanna Shahbazian yang meraih perak dengan 29.050 mata, manakala Anna Sokolova dari Cyprus memenangi gangsa dengan 28.800 mata.
Kemenangan itu merangsang Joe Ee untuk sekali lagi menampilkan aksi mantap bagi membawa pulang emas keduanya, kali ini menerusi disiplin riben dengan 27.800 mata, mengetepikan cabaran Louise Christie dari Scotland yang merangkul perak dengan 27.550 mata dan Carmel Kallemaa dari Kanada yang mencatatkan 27.500 mata untuk gangsa.
Kejayaan meraih dua emas dalam acara individu itu mengatasi pencapaian Elaine Koon yang mengungguli disiplin gelung di New Delhi 2010 dan Amy Kwan Dict Weng yang menjuarai aparatus riben di Gold Coast 2018, justeru menjadikan beliau gimnas negara paling cemerlang dalam Sukan Komanwel.
Sementara itu, seorang lagi gimnas negara Izzah Amzan, yang memperoleh gangsa dalam disiplin belantan, bersyukur kerana beliau akhirnya berjaya membawa pulang pingat individu pertamanya selepas membantu Malaysia mendapatkan perak dalam acara berpasukan pada 2018.
"Pingat ini untuk diri saya sendiri kerana bukan senang untuk buat kemunculan semula lepas pembedahan di lutut kiri sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tempoh hari.
"Apabila dapat pingat ini sangat berharga bagi saya kerana tak kiralah warna apa sekalipun ia tetap emas bagi saya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!