Buruan pingat emas tidak berhenti: Shahrul Zaman

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 Datuk Shahrul Zaman Yahya. - Foto Bernama
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 Datuk Shahrul Zaman Yahya. - Foto Bernama
A
A
A

KONTINJEN Malaysia nampaknya masih belum puas untuk memburu pingat emas seterusnya, walaupun sudah berjaya mencapai sasaran enam emas dua hari sebelum Sukan Komanwel 2022 Birmingham melabuhkan tirainya Isnin ini.

Ketua kontinjen negara (CDM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, yang lega atas pencapaian gimnas negara, Ng Joe Ee selepas dua pingat emasnya hari ini berjaya membantu Malaysia mencapai sasaran tersebut, optimis wira-wira negara akan terus berjuang untuk mencatat kejayaan membanggakan di sini.

Katanya, kejayaan Joe Ee sememangnya satu kejutan besar buat kontinjen negara selepas prospek utama pingat emas skuad gimrama, Koi Sie Yan terlepas peluang meraih kedudukan podium selepas menduduki tempat keempat acara riben.

"Secara peribadi kalau boleh saya nak Malaysia capai sasaran lebih daripada pencapaian di Gold Coast 2018," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan hari terakhir gimnastik berirama di Arena Birmingham pada Sabtu.

Kontinjen Malaysia membawa pulang tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa ketika di Gold Coast 2018.

Justeru, Shahrul Zaman percaya sukan badminton, boling padang serta skuasy berkemampuan untuk menambah koleksi emas negara pada temasya sukan empat tahun sekali itu di sini.

Joe Ee, yang membuat penampilan pertama di Sukan Komanwel, muncul wira negara pada hari kesembilan apabila berjaya meraih emas menerusi disiplin bola dan riben.

Kejayaan atlet muda berusia 16 tahun dari Kuala Lumpur itu juga berjaya melepasi sasaran satu emas diletakkan kepada skuad gimrama pada temasya sukan berprestij kali ini.

Selain enam emas, Malaysia turut berjaya merangkul lima perak dan empat gangsa di sini, setakat ini.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!