Rafizi bakal dedah skandal LCS, dakwa mirip 1MDB
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bakal mendedahkan skandal penyelewengan projek pembinaan enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion.
Beliau berkata, satu persatu penyelewengan yang berlaku akan ditunjukkan dalam tempoh sebulan ini termasuk syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan didakwa untuk melarikan wang.
"Modus operandi tak ubah macam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dahulu.
"Masaklah Najib (Datuk Seri Najib Razak) kali ni. Biar dia jawab bagaimana pertahanan negara jadi lemah semasa dia jadi perdana menteri, selama ini dia fitnah kononnya semua orang jual aset negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Rafizi sebelum itu menempelak Najib yang menyalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam isu LCS dalam kenyataan di Facebook.
"Saya sudah baca putar alam #SayaPutarJib yang ditulis admin Najib Razak untuk cuci tangan skandal RM9 bilion kapal perang. Lemah sangat putar alam Najib kali ni.
"Insya Allah kali ini perdana menteri Facebook ni akan kena sebab dia tidak boleh lari dalam hal skandal kapal perang ni. Akhirnya akan balik kepada dia juga. Sepupu dia pun akan cepat-cepat tuding jari kat dia untuk selamatkan diri," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh sebelum ini mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS disiapkan.
Najib menerusi catatan di laman Facebook mendakwa, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!