MB terima kunjungan Rasuah Busters

Kru Rasuah Busters mengaminkan doa sebelum memulakan konvoi ke Terengganu dan Kelantan pada Sabtu.
Kru Rasuah Busters mengaminkan doa sebelum memulakan konvoi ke Terengganu dan Kelantan pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi Menteri Besar pertama ‘membuka pintu’ menerima kunjungan Rasuah Busters bersempena dengan konvoi #RasuahBusters ke Pantai Timur yang bermula pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, kesediaan Samsuri jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri Terengganu untuk bersama-sama Rasuah Busters dalam misi membangunkan #nilaimoralkarakterbangsa serta menolak budaya jijik rasuah.

Menurutnya, pertemuan itu akan diadakan pada Selasa di Pejabat Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu.

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri

“Alhamdulilah kita menerima khabar yang positif daripada Dr Samsuri, beliau menyatakan kebersamaan untuk bersama-sama Rasuah Busters dalam agenda melahirkan #MalaysiaTanpaRasuah.“Beliau (Menteri Besar) antara lima pihak yang akan ditemui Rasuah Busters sepanjang konvoi selama empat hari bermula 6 Ogos di negeri penyu ini,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Sebelum ini, Terengganu diisytiharkan sebagai kerajaan paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Ia menerusi dapatan daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang dinilai menerusi Malaysia Open Budget Index (MyOBI).

Wan Normi memberitahu, selain pertemuan dengan Samsuri, objektif konvoi kali ini juga adalah untuk membentuk Pasukan Rasuah Busters Terengganu dan memilih pengerusi negeri.

“Untuk pengetahuan, kini kita telah membina jaringan dan mobilisasi bersama hampir 700 rakan gabungan yang turut menjadikan antirasuah sebagai agenda perjuangan,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, pertemuan turut akan diadakan dengan pemegang taruh serta orang awam dalam mempertingkatkan kebersamaan dan memperkukuhkan rantaian sosial pembanterasan rasuah di peringkat akar umbi.

“Ini bagi membentuk usaha kolaboratif yang mampu menambah nilai dalam program serta aktiviti sedia ada dengan penglibatan kakitangan awam dan anggota masyarakat secara menyeluruh.

“Kita juga akan bertukar perspektif dan pandangan dalam mencari solusi terbaik bagi menggiatkan pemulihan negara ke arah #MalaysiaTanpaRasuah,” kata beliau.

Selain itu, jelasnya, konvoi #RasuahBusters juga akan mengadakan pertemuan dengan para pelajar bagi mendedahkan bahaya rasuah yang menjadi risiko besar kepada pembangunan masa depan generasi akan datang.

“Konvoi ini juga akan menjadi platform informasi antirasuah disebarkan dan menjalin kebersamaan gerakan rakyat kepada rakyat dalam membangun sistem nilai demi melahirkan #MalaysiaTanpaRasuah,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!