APG 2022: Terima kasih Indonesia, helo Kemboja

Persembahan bunga api pada Majlis Penutupan APG 2022 di Stadium Menahan, Solo pada Sabtu.
Persembahan bunga api pada Majlis Penutupan APG 2022 di Stadium Menahan, Solo pada Sabtu.
A
A
A

"TERIMA kasih Indonesia, Chom Reap Sour Cambodia (Helo Kemboja)."

Sukan Para ASEAN (APG) 2022 ditutup secara rasmi oleh Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) di Stadium Manahan di sini pada malam Sabtu selepas seminggu aksi sukan yang menghimpunkan atlet-atlet para serantau berlangsung.

Majlis penutupan yang hebat dimulakan selepas selesai perbarisan 11 kontinjen mewakili negara-negara ASEAN.

Kontinjen Malaysia yang mengenakan pakaian trek dan jaket memaparkan imej harimau merupakan pasukan keempat dalam perbarisan itu dan mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Dalam acara berlangsung selama dua jam itu, 10,000 penonton berada di stadium berkenaan dihidangkan dengan persembahan muzik serta kebudayaan yang menonjolkan kepelbagaian dan kekayaan tradisi Indonesia serta artis kontemporari republik itu seperti Andien, Yovie & Nuno dan Yura Yunita.

Jokowi dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada 1,200 atlet yang menyertai temasya sukan itu dan berkata Indonesia berbangga menjadi tuan rumah selama lapan hari untuk golongan atlet kurang upaya dari rantau ini.

Turut hadir, Wanita Pertama Indonesia Iriana Jokowi, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sukan Para ASEAN Indonesia (INASPOC), Gibran Rakabuming Raka dan Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Jeneral Osoth Bhavilai.

Selepas bendera APSF diserahkan kepada wakil tuan rumah seterusnya, Kemboja, satu lagi persembahan hebat disajikan oleh negara itu sebagai tanda selamat datang.

Kemboja akan menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA dari 5 hingga 16 Mei diikuti dengan APG dari 3 hingga 9 Jun tahun hadapan di Phnom Penh.

Malam penutup itu diakhiri dengan persembahan bunga api menghiasi langit bandar di tengah Pulau Jawa sejurus selepas kawah api temasya sukan itu dipadamkan.

Malaysia yang diwakili kira-kira 70 atlet mengakhiri kempen kali ini dengan mengumpul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa untuk menduduki tangga keempat carta pingat.

Tuan rumah, Indonesia seperti dijangka menjuarai secara keseluruhan dengan kutipan pingat 177-144-107 dan ini merupakan kali ketiga ia muncul juara keseluruhan mengulangi kejayaan di edisi Myanmar 2013 dan Kuala Lumpur 2017.

Sementara, Thailand yang mengumpul 113-113-86 pingat dan Vietnam (63-58-54) masing-masing di tangga kedua dan ketiga.

Indonesia bersetuju menjadi tuan rumah hanya beberapa bulan sebelum ini selepas tuan rumah 2019 Filipina dan tuan rumah 2021 Vietnam menarik diri daripada menganjurkan temasya sukan itu atas faktor kewangan dan pandemik Covid-19. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!