Ayam RM5 gegar reruai Nafas di MAHA 2022
SERDANG - Jualan ayam RM5 oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mendapat sambutan hangat daripada pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, apabila lebih 100 pek ayam terjual dalam tempoh 10 minit.
Lebih istimewa, jualan happy hour itu turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob bertempat di Pavillion Nafas di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.
Menurutnya, selain ayam sekilogram, Nafas menawarkan pelbagai produk ayam seperti ayam potong sekilogram, ayam potong 14, paha ayam tanpa tulang, filet ayam dan ayam super yang dijual pada harga istimewa.
"Produk-produk ayam ini dibawa kerana kita tahu ia adalah makanan popular rakyat Malaysia. Nafas mempunyai misi dalam memenuhi keperluan dan permintaan pengguna dalam industri makanan halal yang lestari melalui pengeluaran, pemprosesan, pengedaran serta pemasaran.
"Kita juga mempunyai visi besar sebagai peneraju dalam penternakan, pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran produk Pertubuhan Peladang," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Mohd Faris Mohd Fahmi, 41, dari Bukit Beruntong, Selangor nyata teruja apabila pertama kali mengunjungi MAHA.
"Reruai Nafas misalnya, ada menempatkan anak-anak ayam yang berwarna-warni dan baka-baka ayam yang besar membuatkan kita teruja," katanya.
Jururawat, Ika Fatihah Nordin, 33, turut hadir bersama tiga anak-anaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!