Pangsapuri Palma, Klang terima peruntukan tambah baik kemudahan

Noraini (enam dari kanan) ketika pelancaran Program Smart Strata Mampan di Pangsapuri Palma pada Sabtu.
Noraini (enam dari kanan) ketika pelancaran Program Smart Strata Mampan di Pangsapuri Palma pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memilih Pangsapuri Palma di sini bagi menjayakan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Tahun 2022.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Noraini Roslan berkata, projek itu bertujuan menambah baik persekitaran sedia ada dan menggalakkan interaksi penduduk setempat bagi menjamin kualiti kehidupan penduduk yang lebih baik.

Menurutnya, MPK telah mengenal pasti konsep dan komponen pembangunan yang bakal dilaksanakan di pangsapuri 14 blok melibatkan 1,228 unit kediaman dengan penduduk dianggarkan seramai 4,912 orang.

"Antara projek yang menjadi tumpuan adalah menaik taraf taman permainan kanak-kanak sedia ada, menaik taraf dan mengindahkan kawasan, struktur bangunan dewan serbaguna dan tadika Kemas sedia serta menaik taraf kawasan tumpuan komuniti bagi mewujudkan interaksi sosial, " katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, terdapat juga cadangan tambahan bagi melengkapkan lagi projek tersebut agar peruntukan yang diberikan dapat digunakan secara optima dan dimanfaatkan kepada penghuni-penghuni kawasan perumahan tersebut.

"Antara cadangan tambahan itu katanya, melaksanakan kebun komuniti, pemasangan lampu solar, meletakkan kabin kitar semula dan pembinaan replika Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," katanya.

Dalam pada itu, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dipilih melaksanakan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni pada 2022.

Sebanyak RM480,000 diperuntukkan kerajaan negeri menerusi LPHS dengan agihan RM160,000 bagi setiap PBT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!