Penganggur dijatuhkan hukuman gantung sampai mati

Tertuduh (tengah) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu.
Tertuduh (tengah) ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad menjatuhkan hukuman mati kepada seorang penganggur selepas didapati bersalah mengedar dadah seberat 89.8 gram methamphetamine enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohamad Hafizul Che Mohamad Zahid, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Mohd Hafizul, didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya itu pada 22 September 2016 kira-kira jam 4.20 petang di sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu.

Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, tertuduh memberi keterangan yang meragukan dan bercanggah dengan pihak pendakwaan berkaitan saksi dan penemuan dadah.

"Mahkamah menganggap tertuduh mereka cerita dan memutuskannya bersalah serta dihukum gantung sampai mati," katanya.

Sementara itu, peguambela tertuduh, Ridhuwan Ismail mencelah bahawa tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang prosiding.

Anak sulung daripada lima beradik itu juga merupakan tunggak utama keluarga untuk membantu ibu dan bapanya yang masing-masing berusia 63 dan 51 tahun.

Tertuduh juga katanya sudah insaf dan nekad akan berkelakuan baik.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norazlina Arshad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada orang awam.

"Mahkamah perlu mengambil kira pengedaran dadah kini semakin berleluasa dan hukuman ini menjadi faktor pengajaran kepada orang awam," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!