Pusat amal tarekat menyimpang ajaran Islam wajar ditutup awal
TAMPIN - Pusat pengamalan tarekat yang menyimpang daripada ajaran agama Islam di Negeri Sembilan wajar ditutup awal bagi mengelakkan ia berleluasa dan mempengaruhi orang Islam.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya sedia maklum dengan penutupan sebuah pusat pengamalan tarekat al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah yang dipimpin Habib Shah Firdaus Habib Ahmad di Labu baru-baru ini.
"Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS) akan sentiasa memantau tarekat yang ada di negeri ini.
"... Kalau ada ajaran sesat memang patut ditutup awal lah dan setakat ini hanya ada satu kes seumpama itu di Seremban," katanya selepas selesai merasmikan Majlis penutup Trans Naning NS Challenge 2022 di Tampin Waterpark pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam kenyataannya memaklumkan sebuah pusat pengamalan tarekat al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di Labu di sini diarahkan tutup susulan terdapat aduan mengenai perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak.
Penutupan pusat itu dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan sama ada membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.
Selain itu, mendakwa akan berlaku kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lalu antara punca tarekat yang dipimpin Habib Shah Firdaus itu diarahkan ditutup oleh pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!