Angkasa sedia ambil alih peranan orang tengah
KUANTAN - Koperasi bersedia mengambil alih peranan sebagai orang tengah dengan menjadi koordinator penggerak sumber, dalam usaha menstabilkan harga barangan keperluan asas di pasaran.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, dengan sistem pangkalan data hampir 10 juta pengguna, Angkasa mampu menawarkan harga barangan lebih baik kepada pengguna jika berjaya mengambil alih peranan orang tengah.
Menurutnya, terdapat kira-kira 3,000 rangkaian kedai kendalian koperasi di seluruh negara membolehkan pihaknya menentukan paras harga dapat diimbangi dan faedahnya dirasai oleh pengeluar serta pengguna.
"Kedai koperasi boleh terus kepada pembekal dan sebenarnya dapat mengelakkan kegiatan orang tengah yang selalunya menjadi penyebab utama harga sukar dikawal.
"Kita juga akan memastikan rantaian bekalan dan operasi antara pembekal dan kedai koperasi tidak berdepan masalah. Jadi, kita akan menyediakan kemudahan pusingan kredit kepada koperasi iaitu mereka tidak perlu membayar untuk stok atau bekalan yang dihantar ke kedai bagi tempoh tertentu.
"Bagi tujuan ini, kita menyediakan dana sehingga RM10,000 untuk setiap kedai koperasi dalam usaha memastikan agenda sekuriti makanan terjamin dan pelanggan atau pengguna tidak terputus bekalan barangan keperluan asas," katanya selepas lawatan kerja di tapak projek ternakan ikan air tawar diusahakan koperasi di Pandan 2 di sini, pada Ahad.
Sebanyak 43 kolam ikan air tawar spesies tilapia dan garumi diusahakan koperasi berkenaan.
Pada Sabtu Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, mahu gerakan koperasi memainkan peranan utama 'memerangi' campur tangan orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan.
Mengulas lanjut mengenai saranan itu, Abdul Fattah berkata, usaha menstabilkan harga barangan keperluan asas boleh dilakukan dengan lebih berkesan melalui kerjasama rapat antara Angkasa dan kementerian berkaitan.
"Kalau kita sahaja, mungkin kurang berkesan, tapi kalau semua pihak bekerjasama, kementerian berkaitan bekerjasama dengan Angkasa, saya fikir tidak ada masalah.
"Sebab itu, kita sentiasa berhubung dan mengadakan pertemuan, mesyuarat dengan semua pihak berkepentingan dalam hal membabitkan agenda sekuriti makanan ini,” katanya.
Selain itu, Abdul Fatah berkata, konsep kedai barangan asas (BA100) diperkenalkan Angkasa sejak tahun 2019 mempunyai kemampuan menjadi pusat sehenti kepada pengguna.
Katanya, konsep itu membolehkan pengguna mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah.
“Kita juga menawarkan platform perniagaan secara dalam talian iaitu JiMATbiz dan JiMATshop kepada pengusaha.
“Jadi, pengusaha dapat berurusan terus dengan pelanggan, tanpa membabitkan orang tengah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!