Enam pemancing selamat selepas 16 jam terapung di laut
ALOR SETAR - Enam pemancing berhadapan detik cemas apabila terapung hampir 16 jam di laut, selepas bot yang dinaiki mereka karam di kedudukan 8.2 batu nautika tenggara Pulau Timun dekat Langkawi pada Sabtu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang nelayan pada jam 8.55 pagi Ahad.
Menurutnya, bot berkenaan dilaporkan karam pada jam 6 petang, Sabtu akibat cuaca buruk.
"Maritim Malaysia kemudiannya telah mengatur gerak bot Perkasa 1228 ke lokasi, selepas menerima aduan berhubung penemuan enam orang sedang terapung di laut.
"Kesemua mangsa telah diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada di kawasan berkenaan, sebelum dipindahkan ke atas bot Perkasa 1228 untuk dibawa balik ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang berumur antara 34 hingga 70 tahun itu, sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Perlis pada jam 4 petang selepas selesai menjalankan aktiviti memancing.
"Seorang mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk pemeriksaan lanjut akibat keletihan, setelah terapung hampir 16 jam di laut sebelum berjaya diselamatkan,” katanya.
Romli berkata, pihaknya mengingatkan mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut supaya mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Pengesan Lokasi Individu (PLB).
"Pusat Operasi Maritim Malaysia negeri Kedah dan Perlis meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut, melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-9662750,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!