Tentera Laut AS serah pesawat pertama CN-235 kepada TUDM

Pesawat CN-235.
Pesawat CN-235.
A
A
A

JAKARTA - Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah menyerahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pesawat pengangkut CN-235 pertama daripada tiga pesawat jenis itu yang diubah suai kepada pesawat rondaan maritim.

Penyerahan pesawat pertama itu dibuat hanya tiga tahun setengah selepas AS menandatangani Surat Tawaran dan Penerimaan untuk mula meningkatkan keupayaan dan kerjasama antara tentera AS dan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Tentera Laut AS memaklumkan usaha itu dibuat melalui program Meningkatkan Kapasiti Rakan Kongsi Tentera Laut Amerika Syaikat, sejajar dengan Inisiatif Keselamatan Maritim kerajaan AS.

Inisiatif itu bertujuan membantu kerajaan Malaysia dalam meningkatkan keselamatan maritim dan kesedaran domain maritim dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

"Program CN-235 Malaysia akan meningkatkan keupayaan perisikan, pengawasan dan tinjauan Malaysia," kata Pengarah bagi Kerjasama Keselamatan Markas Sistem Udara Tentera Laut, Ron Weinberger.

Katanya, ia secara langsung akan menyokong usaha Malaysia dan AS untuk memastikan keselamatan global di rantau Markas Indo-Pasifik.

Pesawat CN-235 di bawah projek itu diterbangkan ke Indonesia untuk fasa ujian pada September 2020, dengan penerbangan sulung dilakukan pada Oktober 2021.

Kerja-kerja menyiapkan dua lagi pesawat CN-235 untuk TUDM dan beberapa stesen darat diteruskan serta dijangka siap sepenuhnya pada 2022, menurut kenyataan itu.

CN-235 adalah pesawat pengangkut jarak sederhana menggunakan enjin berkembar yang dihasilkan syarikat aeroangkasa Indonesia PT Dirgantara dan Construcciones Aeronáuticas SA dari Sepanyol. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!