Kian Meng-Pei Jing kandas di separuh akhir
PASANGAN beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal mara ke final acara badminton individu Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila tewas kepada pasangan Singapura, Terry Yong-Jessica Tan, 23-25, 17-21 pada aksi separuh akhir di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham, sebentar tadi (Ahad).
Setelah cemerlang menewaskan pasangan tuan rumah, Callulm Heeming-Jessica Pugh 22-20, 21-11 pada Jumaat, Kian Meng-Pei Jing yang merupakan pasangan menduduki ranking ke-11 dunia ketika ini, terpaksa akur dengan aksi pantas dipamerkan Terry-Jessica pada aksi separuh akhir berkenaan.
Bermula garang sejak awal permainan, Kian Meng-Pei Jing terpaksa mengharungi tentangan sengit oleh pasangan Singapura berkenaan hingga menyaksikan mereka tewas 23-25.
Set kedua menyaksikan pasangan negara mula mempamerkan kebangkitan apabila dilihat mengasak pasangan Singapura dalam usaha mengheret permainan ke set penentuan.
Bagaimanapun, Kian Meng-Pei Jing dilihat gagal menyekat aksi pantas dipamerkan Terry-Jessica sebelum tewas 17-21.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Teryy Jessica melebarkan rekod kemenangan 3-0 ke atas Kian Meng-Pei Jing hasil daripada tiga pertemuan sebelum ini.
Kekalahan turut menyaksikan Kian Meng-Pei Jing gagal mengulangi pencapaian pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang meraih gangsa ketika temasya Sukan Komanwel Gold Coast pada 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!