Polis siasat dakwaan anggota polis merokok di kaki lima restoran
SUBANG JAYA - Polis sedang menyiasat berhubung dakwaan anggota polis merokok di sebuah restoran di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya terkesan hantaran yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter pada jam 11.24 pagi Sabtu.
"Pemilik akaun Twitter itu turut memuat naik gambar memaparkan dua anggota polis beruniform yang sedang duduk di kaki lima sebuah restoran.
"Salah seorang seorang daripada mereka didakwa sedang merokok berdasarkan gambar seakan memegang puntung rokok di bawah meja," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Abd Khalid berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 9.30 pagi ketika pemilik akaun Twitter itu sedang bersarapan bersama suami dan anaknya.
"Kita memandang serius insiden tersebut dan satu siasatan tatatertib akan dijalankan untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
"Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, IPD Subang Jaya telah diarahkan untuk menyiasat dakwaan terbabit," katanya.
Dalam pada itu,beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut.
"Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!