Pantai Geting bukan pertama kali dilanda ribut pasir
TUMPAT - Kejadian ribut pasir di Pantai Geting, Tumpat bukan kali pertama berlaku malah fenomena itu sudah beberapa kali memusnahkan khemah peniaga di situ.
Peniaga bagaimanapun mendakwa kejadian pada Sabtu paling memberi kesan kerana lebih 30 khemah diterbangkan angin selain ada yang ranap.
Seorang peniaga makanan ringan, Che Rosnah Che Omar, 37, berkata, ketika kejadian dia berada di gerainya dan mengambil keputusan mengemas selepas melihat suasana gelap dari arah laut.
Che Rosnah yang tinggal di Kampung Pauh Seratus memberitahu, bagaimanapun dia tidak sempat menyimpan perkakas jualan apabila tiba-tiba angin kuat dan pasir menyelubungi kawasan itu.
"Kami tidak sangka ribut pasir begitu kuat dan menakutkan. Kami meninggalkan semua barang dan berlari menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Seorang lagi peniaga, Nurul Hasanah Hasdi, 34, mendakwa kejadian ribut seumpama itu berlaku lebih awal berbanding tahun sebelum ini.
Katanya, sejak Januari lalu, kira-kira 10 kejadian ribut di pantai itu yang turut memusnahkan kanopi peniaga.
"Biasanya ribut bermula bulan Oktober tetapi mungkin berlaku perubahan alam mengakibatkan kejadian ini lebih awal," katanya.
Nurul Hasanah yang mula berniaga pada Januari lalu juga memberitahu terpaksa berniaga kerana suaminya, Ramli Harun, 48, tidak dapat turun ke laut kerana keadaan cuaca dan ribut sejak beberapa minggu lalu.
"Saya terpaksa kuatkan semangat dan berniaga untuk meneruskan kehidupan walaupun sudah 10 kali menukar kain khemah yang rosak akibat ribut," katanya.
Penyelia sebuah syarikat perkhidmatan kanopi, Nazri Mamat, 50, pula berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang, dia sedang mengemas peralatan di tapak khemah sebagai persediaan persembahan dikir barat pada malamnya.
"Tiba-tiba angin kuat dari pantai menyebabkan khemah berterbangan. Mujurnya ketika itu tiada pengunjung di sekitar kawasan ini," katanya.
Tambahnya banyak kerosakan berlaku termasuk sistem pembesar suara dan 1,500 kerusi.
Ribut yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu turut menyebabkan pengunjung lari menyelamatkan diri.
Bencana itu turut memusnahkan khemah Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!