Van terbalik elak lembu
DUNGUN - Angkara mengelak dari melanggar kumpulan lembu di tengah jalan, seorang penghantar surat khabar Sinar Harian dan isterinya nyaris maut apabila van dinaiki mereka terbalik ke dalam longkang di tepi jalan.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 4.45 pagi tadi di Bukit Sejuk, berhampiran simpang Bandar Ketengah Jaya, Dungun ketika cuaca hujan.
Ketika kejadian, Muhammad Raad Hamudi Abdullah, 29, yang bekerja dengan abang iparnya, Mohd Zaidi A Bakar, 37, yang merupakan ejen penghantar surat khabar Sinar Harian bagi kawasan Dungun dan Kemaman sedang dalam perjalanan menghantar akhbar berkenaan ke Paka dan Kemaman.
Bagaimanapun, dalam insiden itu, Muhammad Raad tidak mengalami sebarang kecederaan dan isterinya, Nurul Hidayah Abdullah, 21, pula hanya mengalami bengkak kaki.
Mohd Zaidi berkata, kemalangan itu berlaku selepas adik ipar dan adik perempuannya itu melepasi satu selekoh sebelum terkejut kerana terdapat kumpulan lembu di atas jalan.
"Adik ipar brek mengejut sebelum van Nissan Vanette dipandunya itu hilang kawalan lalu berpusing dan terbalik sebanyak dua kali lalu masuk ke longkang dalam keadaan van itu terbalik dengan empat tayarnya ke atas.
"Sejurus kehadian itu, adik ipar segera hubungi saya dan saya bergegas pergi ke lokasi kejadian. Ketika saya sampai jam 5.15 pagi, kadaan lokasi kejadian sangat gelap masa itu," katanya.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Unit Kecemasan sebelum dibenarkan pulang.
Menurutnya, akibat kejadian itu, hampir 100 peratus surat khabar Sinar Harian yang dibawa basah dan rosak terkena air hujan ekoran keadaan van yang rosak teruk.
"Cuma ada sikit sahaja surat khabar yang masih elok dan saya hantar kemudiannya kepada ejen di Paka dan tiada edaran akhbar Sinar Harian di Kemaman hari ini," katanya.
Mohd Zaidi berkata, kemalangan itu tidak dilaporkan kepada polis memandangkan adiknya hanya mengalami kecederaan ringan sementara vannya hanya dilindungi insurans kenderaan jenis pihak ketiga.
Tambahnya, insiden itu tidak mematahnya untuk meneruskan tugas sebagai ejen penghantar surat khabar biarpun sudah kehilangan sebuah van.
"Saya jadi ejen sejak lapan tahun lepas lagi. Saya ambil surat khabar yang lori Sinar Harian hantar di Bukit Besi. Dari situ saya hantarkan kepada ejen pengedar di Kemaman. Untuk bantu kerja saya, saya ambil adik ipar sebagai pekerja.
"Seawal jam 1.30 pagi setiap hari kami sudah keluar dari rumah di Dungun dan biasanya surat khabar sampai sekitar jam 3 pagi di Bukit Besi.
"Kemalangan seperti ini antara cabaran kerja kami yang mula bekerja awal pagi. Diharap pihak berkuasa dapat ambil tindakan tegas supaya kemalangan akibat masalah haiwan ternakan berkeliaran atas jalan dapat diatasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!