Tiada kilauan emas beregu skuasy wanita

Aifa Azman - Foto Bernama
Aifa Azman - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT melihat kilauan pingat emas dijelmakan dalam acara beregu skuasy wanita pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham tidak kesampaian apabila dua wakil negara terkandas di peringkat separuh akhir, pada Ahad.

Beregu utama wanita negara Aifa Azman-Rachel Arnold terpaksa akur kepada gandingan England Sarah-Jane Perry dan Alison Waters 1-2 di Pusat Skuasy dan Hoki, Universiti Birmingham di sini.

Pasangan negara bermula baik apabila mencatat kemenangan 11-8 pada set pertama namun gagal meneruskan momentum di set kedua sebelum tumpas 6-11 kepada gandingan tuan rumah itu.

Pada set penentuan, gandingan Malaysia berusaha memberi tentangan setelah ketinggalan di awal permainan namun usaha mereka tidak berhasil apabila kecundang 9-11.

Sebelum itu, satu lagi pasangan negara Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani Ampandi gagal menyaingi juara bertahan Joelle King-Amanda Landers-Murphy dari New Zealand apabila tumpas 0-2 (9-11, 7-11).

Namun sedikit keceriaan bagi kem skuasy negara apabila satu gangsa sudah pasti selepas kedua-dua pasangan Malaysia itu akan bertarung dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, esok (Isnin).

Ketika ditemui pemberita, Aifa berkata, walaupun gagal mara ke peringkat akhir, beliau tetap berpuas hati apabila berjaya melangkah ke separuh akhir dalam penampilan pertamanya di temasya sukan itu.

"Kita bermain seperti biasa (walaupun berdepan wakil tuan rumah), tiada tekanan... Walaupun pertarungan yang sukar, kita memberi tentangan kepada mereka sehingga ke akhir permainan,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Rachel pula berkata walaupun baru digandingkan kira-kira empat minggu lepas, mereka mampu membentuk keserasian dalam tempoh singkat bagi menghadapi temasya kali ini.

Sebelum ini, Rachel sepatutnya bergandingan dengan S. Sivasangari namun pemain berasal dari Sungai Petani, Kedah itu terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Express Maju (MEX) pada Jun lepas.

Kemalangan itu menyaksikan Sivasangari perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang dan Aifa dipilih bergandingan dengan Rachel pada temasya kali ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!