Awal-awal United dah 'terciduk'

Pertahanan United, Lisandro Martinez mengasak Welbeck dalam aksi di Old Trafford sebentar tadi.
Pertahanan United, Lisandro Martinez mengasak Welbeck dalam aksi di Old Trafford sebentar tadi.
A
A
A

MANCHESTER United mengalami kekalahan sulung di bawah kendalian pengendali baharu, Erik ten Hag dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tewas 1-2 kepada Brighton sebentar tadi.

Dalam aksi pembukaan EPL yang berlangsung di gelanggang keramat United - Old Trafford itu, dua gol Pascal Gross sudah cukup untuk 'menghadiahkan' kekalahan pertama buat ten Hag.

Biarpun beraksi di laman sendiri, ten Hag tidak menurunkan bintang sensasi, Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama sehingga United jelas berdepan masalah di bahagian serangan pada babak pertama.

Sebaliknya, Brighton menggunakan kesempatan itu untuk merobek gawang United hasil jaringan Gross yang menyudahkan hantaran Danny Welbeck pada minit ke-30.

Sembilan minit kemudian, Gross sekali lagi merobek gawang United selepas pantas menyambung bola yang ditepis penjaga gol, David de Gea hasil percubaan Solly Marsh.

Lima minit babak kedua bersambung, ten Hag memasukkan Ronaldo bagi menggantikan Fred dan ternyata kemasukannya mengubah corak permainan The Red Devils.

United berjaya melancarkan serangan bertali arus ke kubu Brighton menerusi beberapa percubaan merbahaya khususnya menerusi Marcus Rashford pada minit ke-58.

United akhirnya berjaya memperoleh 'gol semangat' selepas pertahanan Brighton, Alexis MacAllister menjaringkan gol sendiri berikutan keadaan kelam kabut hasil sepakan sudut pada minit ke-68.

Biarpun terus mengasak kubu Brighton, United masih gagal memburu gol penyamaan sehingga tamat perlawanan sekali gus terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!