Pencari kerja di Sabah kurang ambil peluang Karnival Kerjaya
TAWAU - Pencari kerja di Sabah dilihat masih kurang mengambil peluang untuk mengisi kekosongan jawatan ditawarkan sepanjang empat siri karnival kerjaya di negeri itu sejak Januari lepas, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan.
Beliau berkata, menerusi Karnival Kerjaya Perdana Sandakan 2022 pada Januari lepas, Career Gig SMJ di Kota Kinabalu (Mac), Karnival Pekerjaan Semporna 2022 (Mei) dan Karnival Pekerjaan Kota Belud 2022 (Jun), hanya 983 orang mendapat pekerjaan daripada 13,313 kekosongan jawatan.
Menurut Yakub, jumlah itu hanya mewakili tujuh peratus daripada kekosongan jawatan disediakan di empat karnival kerjaya itu dan kerajaan pada masa ini masih belum berpuas hati dengan sambutan sedemikian walaupun banyak telah dilakukan bagi membantu pencari kerja terlibat.
"Kita juga berharap kerjasama daripada pihak majikan dan industri sama ada dari Sarawak atau Semenanjung Malaysia dapat dipertingkat dan diperluas pada masa akan datang dalam usaha menangani masalah pengangguran dan kehilangan pekerjaan di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Perdana Tawau anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial dengan kerjasama Majlis Perbandaran Tawau di sini, pada Ahad.
Karnival kerjaya itu melibatkan 23 majikan daripada pelbagai sektor swasta dengan 4,318 peluang pekerjaan ditawarkan khusus untuk pencari kerja di daerah tersebut.
Yakub berharap setiap pencari kerja terutama golongan belia memanfaatkan setiap kemudahan, program dan platform pencari pekerjaan serta peluang pekerjaan disediakan kerajaan.
"Mungkin pekerjaan ditawarkan tidak menepati kehendak, namun adalah lebih baik para belia dan pencari kerja menerimanya kerana ia boleh digunakan sebagai pengalaman untuk mendapat peluang pekerjaan lebih baik pada masa akan datang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!