[VIDEO] TLDM mahu kapal tempur bukan kapal peronda
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM), Kapten (B) Mohd Yahya menyifatkan penyelewengan berhubung projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) seolah-olah mempermainkan sistem pertahanan dan keselamatan negara.
Menurutnya, akibat daripada penyelewengan terbabit, keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak diendahkan dan projek LCS yang sepatutnya merupakan reka bentuk kapal tempur SIGMA itu diubah kepada kapal peronda GOWIND.
“Teknikalnya kalau kita tengok surat-surat bantahan Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar menolak model GOWIND yang dicadangkan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) ini.
“GOWIND ini kapal peronda, yang TLDM mahukan dan menjadi keperluan pada ketika itu ialah sebuah kapal tempur (SIGMA),” katanya dalam sebuah program bual bicara melalui siaran di media sosial pada Ahad.
Ulas Mohd Yahya, keperluan TLDM meminta kapal reka bentuk SIGMA itu adalah bertujuan bagi meningkatkan prestasi dan mutu kawalan keselamatan negara.
Beliau berkata, pemimpin seharusnya sedar bahawa persediaan dari aspek aset ketenteraan itu perlu ada meskipun negara berada dalam keadaan aman dan damai.
"Kalau kita tengok rekod yang ada, kapal LCS (menggunakan model SIGMA) ini sekarang ia diguna secara meluas di Indonesia iaitu Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) dan Tentera laut Maghribi.
"Itulah sebabnya kenapa TLDM memohon supaya kita juga menyediakan kemudahan ketenteraan yang setara dengan rakan-rakan kita di rantau ini.
“Sebab kita juga negara yang dikelilingi dengan perairan. Jadi sudah sampai masanya untuk kita memiliki kapal-kapal sebegini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!