Cikgu pula yang takut murid sekarang
MERAK Jalanan geleng kepala baca berita pelajar berusia 15 tahun pukul guru wanita berumur 52 dengan batang penyapu hanya kerana guru itu hendak mendisiplin dirinya.
Kejadian itu berlaku di Selangor gara-gara pelajar tingkatan tiga itu berang rambutnya yang panjang dipotong cikgu. Berdasarkan gambar yang Merak Jalanan lihat, kuat juga pukulan itu sampaikan dahi guru berkenaan berbenjol seperti bola golf!
Merak Jalanan faham ramai remaja sekarang suka macam-macam fesyen rambut. Tapi murid lelaki memang tak boleh berambut panjang.
Ikutkan peraturan kementerian, rambut bahagian belakang tak boleh jatuh melebihi garisan di bawah cuping telinga manakala rambut di bahagian depan jangan menutupi garisan tengah dahi. Rambut menutup kedua-dua telinga juga tidak dibenarkan. Sideburn juga ada had yang dibenarkan.
Walaupun kes murid pukul cikgu ini dianggap kes terpencil, namun insiden ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan konsep pendidikan yang kita amalkan. Malah, ada yang kata pendidikan kita perlahan-lahan melahirkan 'tuan'.
Tahun 1970-an dan 1980-an guru sangat dihormati. Dulu-dulu murid berebut-rebut tunggu tepi motor atau kereta cikgu sebab nak tolong bawa beg dan buku cikgu.
Sekarang, guru pula terpaksa berdiri di pintu pagar sekolah seawal 6.30 pagi untuk menyapa murid yang sampai dan mengucapkan tahniah kerana datang ke sekolah.
Pencapaian akademik dan keputusan peperiksaan seolah-olah adalah segala-galanya. Kita selalu dengar berbagai inovasi pengajaran seperti KBAT dan PAK21, namun jarang kita dengar inovasi pembentukan sahsiah di sekolah.
Merak Jalanan tak nafikan ada banyak kemajuan dalam.. cuma Merak Jalanan bimbang sekolah hanya tempat untuk mengajar, bukan mendidik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!