Mekanik rugi RM14,740 terpedaya sindiket pelaburan
KUANTAN - Seorang mekanik rugi RM14,740 selepas terpedaya dengan tawaran keuntungan lumayan melalui pelaburan berasaskan mata wang digital yang diiklankan sindiket penipuan melalui melalui Facebook.
Mangsa dijanjikan pulangan RM201,760 dalam tempoh 24 jam dengan pelaburan hanya RM3,450. Bagaimanapun untuk mendapatkan keuntungan itu, mangsa dikenakan beberapa bayaran termasuk cukai bank sebelum menyedari dia menjadi mangsa penipuan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa terjerat selepas tertarik dengan nilai pelaburan hanya RM500.
Bagaimanapun selepas pembayaran dibuat, dia dimaklumkan pakej itu sudah ditutup dan dicadangkan agar melabur melalui pakej lain dengan nilai pelaburan RM2,000.
Menurutnya, selepas mangsa setuju menukar pakej dan membuat bayaran tambahan, suspek memaklumkan semua pakej ditutup dan menawarkan empat lagi pakej pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa 24 jam.
“Mangsa memilih salah satu pakej dengan nilai pelaburan permulaan RM3,450 yang menjanjikan pulangan 24 jam sebanyak RM152,200.
“Pada 6 Mac lalu, mangsa membuat pembayaran RM1,450 melalui akaun bank yang diberikan suspek sebelum dimaklumkan dia berjaya mengaut keuntungan RM152,200 seperti yang dijanjikan,”katanya.
Mohd Wazir berkata, suspek mengenakan syarat di mana mangsa perlu jelaskan yuran pengeluaran sebanyak lima peratus iaitu RM7,760.
“Bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM6,100 dan mangsa membayar seperti yang diminta.
“Suspek sekali lagi menghubungi mangsa memaklumkan keuntungannya meningkat kepada RM201,760 dan cukai bank yang perlu dibayar 10 peratus atau RM20,200,”katanya.
Menurutnya, suspek bagaimanapun setuju mangsa membayar hanya RM2,020 sahaja namun kerana pengeluaran wang dalam jumlah besar, mangsa perlu membuat tambahan bayaran RM3,160.
“Selepas semua bayaran dibuat, suspek terus meminta bayaran tambahan menyebabkan mangsa mula curiga dan syak ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.
“Kita buka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!