MELAKA - Seorang bapa dijatuhi hukuman 18 tahun penjara dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol anak tirinya sejak setahun lalu. Tertuduh yang berusia 41 tahun membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. Mengikut pertuduhan pertama hingga ke tiga tertuduh didakwa melakukan rogol ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun tiga bulan di mana hubungan mangsa dengan tertuduh adalah tidak dibenarkan dibawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin. Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 30 puluh tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan. Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumahnya di Bukit Rambai, pada 19 April 2018, 24 Febuari dan 11 Mac 2019. Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi, memohon kepada mahkamah agar hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana sebagai bapa, lelaki itu sepatutnya melindungi mangsa bukan berpelakuan sebegitu. "Walaupun hanya bapa tiri dia perlu bertanggungjawab dan kejadian ini meninggalkan kesan trauma serta psikologi ke atas mangsa," katanya. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan dia adalah penanggung tunggal dalam keluarga serta mempunyai dua anak yang masih kecil. Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara berjalan serentak.