[VIDEO] Jangan mudah terpengaruh dakwaan kelahiran Imam Mahdi
GEORGETOWN - Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tentang kelahiran Imam Mahdi bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan individu atau pihak yang mempunyai agenda tertentu.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, banyak kumpulan dan individu didapati mengeksploitasi isu Imam Mahdi ini untuk tujuan tertentu terutamanya untuk kepentingan politik dan pengaruh agama.
Menurutnya, tiada dalil yang ditemui di dalam al-Quran mengenai kedatangan Imam Mahdi namun terdapat dalam hadis-hadis sahih, bagaimanapun ia kebanyakannya adalah dha’if.
"Daripada keseluruhan hadis-hadis tersebut boleh dirumuskan bahawa Imam Mahdi adalah daripada keturunan Nabi Muhammad SAW iaitu namanya adalah Muhammad dan nama bapanya adalah Abdullah, sama seperti nama Nabi dan bapanya.
"Banyak kekeliruan yang timbul mengenai isu Imam Mahdi ini yang mana, ada pihak menggunakan isu ini untuk tujuan tertentu, kepentingan politik dan pengaruh agama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, kedatangan Imam Mahdi pada akhir zaman diharapkan akan menegak keadilan di seluruh muka bumi yang sebelum ini dipenuhi kezaliman.
"Sebagai contoh, setiap agama Samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam menunggu kedatangan Imam Mahdi untuk membantu membela agama masing-masing.
"Bagi golongan Syiah pula, ada versi pelik dan sukar diterima akal iaitu Putra Imam Hasan Al-Askari yang dikatakan bersembunyi di dalam sebuah lubang di bawah tanah di samurra’ Irak. Penganut Syiah sedang menunggu kelahirannya sehingga kini.
"Sementara itu, di Sudan, umat Islam mereka menganggap ketua agama mereka yang memimpin pemberontakan menentang pemerintahan Turkiye dalam abad ke-18 sebagai Imam Mahdi. Ini jelas menunjukkan isu ini telah dieksploitasi untuk tujuan tertentu," katanya.
Wan Salim menambah, perkara yang wajar dibincangkan dan diberi keutamaan oleh umat Islam adalah tentang perkara praktikal yang mampu mengembalikan kekuatan umat dan kemuliaannya.
"Sebagai umat Islam, kita sepatutnya memberi keutamaan kepada isu praktikal untuk kembalikan kekuatan umat atau sekurang-kurangnya mampu menyelesaikan pelbagai masalah semasa yang membelenggu kehidupan antaranya kemiskinan, perpecahan, rasuah, gejala anak-anak muda kehilangan arah dan sebagainya.
"Kita mesti berusaha ke arah matlamat ini tanpa perlu menunggu kedatangan 'Sang Penyelamat' yang tidak dapat dipastikan waktu kemunculannya. Saya tegaskan di sini bahawa isu Imam Mahdi tiada kaitan dengan akidah Islamiah.
"Siapa yang percaya, maka dia boleh menunggu kelahiran penyelamat tersebut tanpa menyebarkannya kepada masyarakat. Sesiapa yang tidak percaya maka dia tidak menjadi kafir dengan sikap sedemikian," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang berpusat di Kampung Jawa, Labu, Negeri Sembilan ditutup berkuat kuasa 3 Ogos lalu.
Tindakan itu diambil berikutan Habib Shah Firdaus dikatakan telah menyeleweng daripada hukum syarak termasuk mempercayai akan berlaku kemunculan imam Mahdi pada hari Arafah lalu.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, hasil maklumat diperoleh pihaknya, Habib Shah Firdaus kini dipercayai berada di Arab Saudi sejak Mac lalu bersama ratusan pengikutnya bagi menantikan satu ‘peristiwa besar’ iaitu kemunculan Imam Mahdi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!