Jakim kenal pasti lokasi Hadi Minallah
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengenal pasti lokasi pusat penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, maklumat tersebut telah disalurkan kepada Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI).
"Semalam baru kita dapat profil Hadi Minallah ini dan saya terus hubungi JAWI," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang pertama di Kompleks Islam Malaysia, di sini pada Isnin.
Menurutnya, selaku pihak berkuasa negeri, JAWI mempunyai bidang kuasa bagi membanteras penyebaran fahaman sesat itu.
"Kita bagi JAWI kerana ia adalah bidang kuasa negeri. Kami (Jakim) melaporkan sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi mengenai penyebaran fahaman agama itu di dalam negara yang dikatakan aktif di beberapa lokasi di dalam negara.
Ajaran Hadi Minallah juga aktif menyebarkan idea sesat mereka melalui saluran YouTube.
Berdasarkan video tular itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.
Sementara itu mengulas lambakan kandungan bercanggah dengan ajaran Islam di YouTube, Idris menyarankan agar orang ramai membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Jakim hanya penyelaras dan tidak mempunyai kuasa. Punca kuasa adalah melaporkan kepada SKMM dan sekiranya ia berlaku secara fizikal, tindakan adalah di bidang kuasa pihak agama negeri," katanya.
Ditanya berapa lama Hadi Minallah sudah bertapak di negara ini, Idris berkata, pihaknya masih menyiasat perkara itu.
"Kita tiada maklumat, JAWI akan menyiasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!