'Ayah pesan supaya tidak tinggalkannya'
SUNGAI PETANI - Mangsa libasan pedang yang meninggal dunia pada Ahad sempat memberikan pesanan kepada menantunya agar tidak meninggalkannya keseorangan di hospital.
Khairul Anuar Mohd, 37, berkata, bapa mertua, Ismail Ahmad, 58, ada meninggalkan pesanan agar dia tidak ke mana-mana ketika menemaninya bermalam di hospital pada Sabtu.
Menurutnya, Ismail yang juga merupakan pengawal keselamatan sempat mengadu kepadanya mengalami sakit badan sehingga tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam.
"Saya teman semalam (Sabtu), dia tidur sekejap-sekejap sahaja, dia sempat pesan kat saya, jangan pi mana dan teman dia," katanya ketika ditemui di Taman Ria Jaya di sini.
Khairul Anuar merupakan suami kepada Nor Shazleen, 34, yang merupakan anak ketiga Ismail, dari empat beradik.
Dalam kejadian 4 Ogos lalu, Ismail cedera di kepala dan tangan kiri akibat dipukul dan ditetak menggunakan pedang kerana menegur perbuatan seorang penunggang motosikal yang menunggang dengan cara bahaya di sebuah tapak projek perumahan di Bukit Banyan, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Ismail disahkan meninggal dunia pada Ahad ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!