Op Lejang: 706 saman dalam tempoh lapan hari
IPOH - Sebanyak 706 notis saman telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dalam tempoh lapan hari Op Lejang dijalankan bermula 1 Ogos lalu.
Jumlah saman atas pelbagai kesalahan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 661 motosikal dengan 17 daripadanya disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kebanyakan motosikal yang disita didapati telah melakukan ubah suai dipercayai tujuan menguji kelajuan, menunggang secara berbahaya dan berlumba haram.
Timbalan Pengarah JPJ Perak, Ab Aziz Awang Teh berkata, antara kesalahan melibatkan pengubahsuaian motosikal dikesan termasuk penukaran ekzos dan penggunaan tayar bersaiz kecil (tayar sotong).
Katanya, kesalahan lain adalah penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan ekstrem serta tidak menggunakan cermin sisi ketika menunggang motosikal.
"JPJ komited untuk membanteras kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya yang menjadi punca berlakunya kemalangan serta kematian sepertimana berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.
"Antara usaha dilakukan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dengan memberikan tumpuan kepada usaha menangani kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya di lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan serta negeri dari masa ke masa," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan JPJ Perak pada Isnin.
Beliau berkata, tiada lesen memandu masih menjadi kesalahan tertinggi direkodkan dengan 100 kesalahan diikuti lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (88) dan tiada perlindungan insurans (71).
Katanya, bagi setiap kesalahan dilakukan penunggang, saman yang sama turut dikeluarkan ke atas pemilik motosikal.
"Operasi ini akan dilaksanakan sehingga 30 September depan.
"Walaupun di Perak kegiatan lumba haram ini tidak begitu serius, tumpuan tetap kita berikan untuk mencegah aktiviti ini daripada terus berleluasa," katanya.
end
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!