[VIDEO] 'Kami tidak tahu Azmin calon TPM' - MPT Bersatu
PUCHONG - Dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu mereka tidak mempunyai sebarang maklumat berkenaan dakwaan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicalonkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Perkara itu dizahirkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
"Saya tidak tahu, (Adakah ia dibincangkan dalam mesyuarat MPT) kami tidak tahu.
"Kalau tahu nanti kami beritahu," kata Abdul Latiff pada sidang media sempena sambutan Hari ASEAN ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada Isnin.
Perkara sama turut diberitahu Saifuddin ketika ditanya mengenai laporan media bahawa Mohamed Azmin adalah calon tunggal gabungan itu untuk jawatan TPM.
"Jawapan saya sama sebab dalam kabinet kami duduk sebelah- menyebelah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Bersatu menuntut kerusi TPM daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mencalonkan nama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan itu.
Laporan memetik sumber itu berkata Mohamed Azmin merupakan calon tunggal yang dikemukakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan berkenaan seperti mana perjanjian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!