Bomba Kedah beri tumpuan lima lokasi kepala air

Sayani (empat dari kanan) menyampaikan sijil dan alat pemadam kebakaran kepada wakil pasukan bomba komuniti di Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti di Pantai Murni di sini pada Isnin.
Sayani (empat dari kanan) menyampaikan sijil dan alat pemadam kebakaran kepada wakil pasukan bomba komuniti di Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti di Pantai Murni di sini pada Isnin.
A
A
A

YAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kedah memberi tumpuan kepada lima lokasi di negeri ini yang sering berlaku kepala air ketika hujan lebat.

Pengarah JBPM Kedah Sayani Saidon berkata, lokasi berkenaan adalah Hutan Lipur Bukit Wang di Jitra, Surau Batu di Bukit Kayu Hitam, Sungai Kuala Sedim di Kulim,Air Terjun Titi Hayun dan Batu Hampar di Yan serta Air Terjun Temurun di Langkawi.

Katanya, lima lokasi terbabit adalah antara 18 kawasan yang dikenal pasti oleh JBPM sebagai kawasan yang sering dikunjungi bagi melakukan aktiviti air.

"Di Baling juga antara yang kita beri perhatian kerana setiap bulan Julai atau Ogos memang sering berlaku banjir di sana, cuma tahun ini berlaku kepala air pada awal Julai lalu di Lata Celak," katanya ketika sidang media di Majlis Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti di Pantai Murni di sini pada Isnin.

Menurutnya, penduduk setempat dan pengunjung diharap sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan apabila terdapat tanda-tanda akan berlaku kepala air.

"Jika nampak daun-daun kering hanyut, air mula berubah warna cepat-cepat tinggalkan kawasan itu dan bergerak ke tempat selamat," katanya.

Sayani menambah, kewujudan bomba komuniti juga membantu menyebarkan kesedaran kepada masyarakat tentang aspek keselamatan.

"Pasukan ini memainkan peranan untuk bantu kita sebarkan kesedaran kepada pengunjung-pengunjung di pusat perkelahan.

"Ini kerana mereka adalah penduduk tempatan jadi mereka lebih arif dan tahu selok belok di kawasan terbabit," katanya.

Menurutnya, pasukan terbabit juga akan sentiasa berinteraksi dengan bomba di pejabat untuk menyampaikan sebarang maklumat.

"Contohnya apabila berlaku bencana mereka yang akan bertindak dahulu dengan menghubungi kita untuk menyampaikan info.

"Jadi ia akan memudahkan usaha menyelamat dan melancarkan kerja-kerja teknikal kerana kita sudah mendapat gambaran awal berdasarkan maklumat yang diterima," katanya.

Pada 4 Julai lalu media melaporkan kejadian kepala air di Kampung Iboi Kupang Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan ratusan rumah rosak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!