Israel-Gaza: Singapura seru gencatan senjata berpanjangan

Singapura seru semua pihak terlibat dalam serangan udara dan serangan roket di Israel dan Gaza untuk 'menghentikan ketegangan dan keganasan terhadap orang awam - Foto hiasan
Singapura seru semua pihak terlibat dalam serangan udara dan serangan roket di Israel dan Gaza untuk 'menghentikan ketegangan dan keganasan terhadap orang awam - Foto hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Singapura pada Isnin menyeru semua pihak yang terlibat dalam serangan udara dan serangan roket di Israel dan Gaza untuk 'menghentikan ketegangan dan keganasan terhadap orang awam serta berusaha ke arah gencatan senjata yang berpanjangan'.

Kementerian Luar (MFA) republik itu memaklumkan Singapura 'tetap prihatin' tentang situasi semasa di Gaza dan Israel.

"Kami berasa sedih dengan kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah.

"Kami menyeru semua pihak untuk menghentikan serangan terhadap orang awam, meredakan ketegangan dan berusaha ke arah gencatan senjata yang berpanjangan.

"Semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk melindungi keselamatan orang awam,” kata jurucakap kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal Isnin.

Menurut laporan, pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara di kawasan disyaki mendatangkan 'ancaman' oleh kumpulan Jihad Islam.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di seluruh wilayah Palestin, apabila tentera Israel menahan seorang pemimpin kanan Jihad Islam, Bassam al-Saadi dalam serbuan di bandar Jenin di Tebing Barat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!