Laluan ditutup sempena LTDL 2019
MELAKA TENGAH - Beberapa jalan utama di negeri ini akan ditutup pada 7 dan 8 April ini sempena perlumbaan Le Tour De Langkawi (LTDL) 2019.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, penutupan jalan pada hari pertama di negeri ini bermula dari Bandar Prima Senawang dan dijangka berakhir di Dataran Pahlawan lebih kurang jam 3.45 petang.
Menurutnya, antara jalan yang terlibat termasuk Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dari Simpang Ampat, Alor Gajah melalui Rembia, Paya Rumput, Cheng, Lorong Pandan, Durian Daun dan beberapa jalan di tengah bandar manakala Jalan Merdeka akan ditutup sepenuhnya pada 2 petang.
Katanya, penutupan jalan pada hari kedua pula melibatkan jarak sejauh 180 kilometer yang bermula di Muar, Johor dan akan berakhir di Putrajaya membabitkan daerah Jasin sekitar jam 11.30 pagi manakala Alor Gajah dijangka jam 12.30 tengah hari.
"Penutupan jalan pada kali ini turut membabitkan jalan kampung dan pada sesi hari kedua akan melibatkan Sungai Rambai, Merlimau, Kesang seterusnya Durian Tunggal, Pengkalan, Ayer Paabas dan Lubuk China.
"Kita meminta orang ramai mengambil perhatian berkenaan penutupan jalan ini dan menasihatkan mereka merancang perjalanan atau menggunakan jalan alternatif lain," katanya.
Tambanya, bagi memastikan kelancaran siri perlumbaan itu pihaknya turut menempatkan seramai 425 anggota dan pegawai selama dua hari program itu berlangsung.
"Kita sedaya upaya untuk mengambil masa seminimum yang mungkin tempoh penutupan jalan itu dan berharap pengguna jalan raya dapat memberikan kerjasama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!