Bank Rakyat bantu UKM urus tadbir dana wakaf

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Norazah Mohd Nordin (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Susulan dan Kutipan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar (tiga dari kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Dana Wakaf Tunai baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Norazah Mohd Nordin (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Susulan dan Kutipan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar (tiga dari kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Dana Wakaf Tunai baru-baru ini.
A
A
A

BANK Rakyat telah mengadakan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Dana Wakaf Tunai dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru- baru ini, yang dijangka dapat membantu universiti tersebut mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, menerusi kerjasama itu, bank itu akan membantu UKM mempromosi, mengumpul dan bersama-sama mengurus serta mentadbir dana wakaf tunai yang diterima.

“Sumbangan dana yang diterima akan dilaburkan dalam instrumen pelaburan berasaskan syariah, kemudiannya hasil dan manfaat yang diterima daripada pelaburan akan diagihkan kepada warga universiti berkenaan.

“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Bank Rakyat untuk memartabatkan wakaf sebagai instrumen kewangan yang boleh memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara, di samping dapat membantu universiti mempromosikan, mengumpulkan dan bersama-sama mengurus serta mentadbir dana wakaf yang dikumpul,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan juga adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Bank Rakyat dalam mendorong pembangunan Keluarga Malaysia yang mampan dan adil, selaras dengan visi Bank untuk menjadi Bank Koperasi Islam Progresif No. 1 di Malaysia.

Sebelum ini, Bank Rakyat telah menandatangani Perjanjian Usahasama Dana Wakaf bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu serta menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.

“Menerusi kerjasama strategik ini, Bank Rakyat berharap agar institusi wakaf dapat mengambil manfaat melalui aspek tadbir urus, akauntabiliti dan transparensi dunia korporat terutamanya dari segi pengumpulan, penyaluran serta pelaburan dana.

“Bank Rakyat berharap agar kerjasama antara institusi wakaf, institusi perbankan Islam dan sektor korporat secara tidak langsung dapat memupuk imej positif dalam pengurusan wakaf yang seterusnya akan menambahkan keyakinan masyarakat terhadap institusi wakaf,” kata kenyataan itu.

Sehingga kini, Bank Rakyat menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi berjaya mengumpul dana wakaf dan sedekah sebanyak RM3.1 juta sejak 2018 yang akan dimanfaatkan untuk tujuan kemaslahatan ummah serta komuniti Islam yang memerlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!