Jawi pantau ajaran Hadi Minallah
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memantau aktiviti kumpulan ajaran Hadi Minallah.
Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, siasatan dan tindakan terhadap ajaran sesat itu dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Menurutnya, sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam harus dibanteras secara habis-habisan.
"Umat Islam disarankan agar sentiasa merujuk kepada autoriti agama bagi mengenal pasti dan menangkis anasir-anasir mengelirukan akidah, syariah.
"Jauhkan diri daripada sebarang kegiatan yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Baru-baru ini tular video memaparkan tindakan beberapa wanita berniqab memeluk dan mencium tangan seorang lelaki dipercayai pengasas ajaran tersebut dalam satu majlis di Langkawi yang dimuat naik di media sosial.
Berdasarkan video tular tersebut, kumpulan ajaran tersebut mengadakan majlis konvokesyen di Pulau Langkawi pada 10 hingga 13 Jun lepas.
Pertubuhan itu dikatakan berasal dari Indonesia dan berpusat di Singapura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!