Jual ayam gunting RM2.50 meski untung sedikit

Fatin Nur Shadah menjual ayam gunting dengan harga RM2.50 bagi meringankan beban keluarganya.
Fatin Nur Shadah menjual ayam gunting dengan harga RM2.50 bagi meringankan beban keluarganya.
A
A
A

ALOR GAJAH - Meskipun hanya mendapat keuntungan sedikit, namun seorang wanita cekal menjual ayam gunting pada harga RM2.50 sekeping di tepi jalan Kampung Gadek di sini bagi meringankan beban keluarganya.

Fatin Nur Shadah Ramli, 27, berkata, dia mula menjual ayam gunting sejak empat bulan lalu.

Menurutnya apa yang penting adalah dia ikhlas dalam berniaga biarpun keuntungan tidak seberapa.

Setiap hari dia akan menggoreng lebih 50 keping ayam dan hasil diperolehi mampu menambahkan pendapatan suaminya yang hanya bekerja sebagai pemandu lori.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang tak boleh nak mengharapkan wang gaji suami sahaja, jadi saya perlu lakukan sesuatu agar kami tidak terus dihimpit kesusahan.

"Jika tidak, ada masanya kami terpaksa catu makanan. Dengan berniaga dari jam 11 pagi hingga 6 petang dapatlah tambah-tambah wang untuk beli keperluan dapur," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya bekerja sebagai pembantu gerai ayam gunting sebelum memberanikan diri untuk memulakan perniagaan sendiri.

Katanya, bermodalkan wang pinjaman sebanyak RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dia menjual ayam gunting dengan harga RM2 sekeping sebelum menaikkan harga kepada RM2.50 sejak dua bulan lalu.

Ujarnya, meskipun harga barang mentah semakin naik namun dia tidak boleh menaikkan harga jualan terlalu tinggi memandangkan lokasi perniagaannya adalah kawasan kampung.

Biarpun kehidupannya 'ibarat kais pagi, makan pagi' namun tidak pernah memohon sebarang bantuan bulanan sama ada dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

"Selagi masih boleh mencari rezeki saya akan berusaha walaupun menghadapi masalah 'slipped disc' dan ada kalanya sukar untuk bergerak.

"Apa pun saya reda dan percaya pada rezeki ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!