Isu Gaza-Israel: OIC mesti tegas, berani dan berprinsip
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tekanan politik dan jalan diplomatik mesti disegerakan agar sebarang gencatan senjata tidak bersifat wayang dan benar-benar dipatuhi.
"Semua pemimpin politik dan masyarakat di Malaysia diminta agar melihat serta memperjuangkan isu kekejaman Israel ke atas
wilayah Gaza dengan lebih lantang dan serius.
"OIC mesti bertindak menjangkau kecaman dan kenyataan. Satu jalan dan pendekatan baharu mesti diambil agar kekejaman Israel tidak berulang dengan sewenang-wenangnya.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu rejim Zionist dan kerajaan Aparteid Israel ke atas wilayah Gaza yang telah meragut nyawa ramai rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekali pun kerajaan Mesir selaku orang tengah mengusahakan satu gencatan senjata, ia dilihat sangat rapuh dan amat berpotensi untuk dilanggar oleh rejim Zionist.
Malah katanya, sehingga saat rundingan gencatan senjata itu sedang dibincangkan, rejim Zionist terus membedil Gaza.
"Serangan udara sedemikian bukan sahaja satu kekejaman melampau yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa. Malah sudah menjadi satu rutin oleh kerajaan penceroboh Israel yang sehingga kini tidak pernah menerima apa-apa kesan dan pertanggungjawaban," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!