Sheeda kemalangan di Jempol
JEMPOL - Penyanyi dangdut, Sheeda terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Baru Air Hitam, di sini pada Ahad.
Penyanyi berusia 59 tahun yang popular dengan lagu Angkat Kaki itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira jam 3.08 petang itu berlaku ketika Sheeda yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 25, keluar dari arah simpang sebelah kiri dan melanggar bahagian hadapan kereta Myvi dipandu Sheeda.
"Akibat pelanggaran itu pemandu Proton Wira mengalami sakit dada manakala Sheeda tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Chang Hook berkata, laporan polis sudah dibuat oleh kedua-dua pihak dan siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Rule3 (2)(B) LN 166/59.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!