Tiada unsur diskriminasi terhadap warganegara India: KP Imigresen

Khairul Dzaimee menafikan dakwaan penganiayaan terhadap warganegara India yang tiba di KLIA selepas tular di media sosial.
Khairul Dzaimee menafikan dakwaan penganiayaan terhadap warganegara India yang tiba di KLIA selepas tular di media sosial.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan bahawa tiada unsur diskriminasi terhadap warganegara India yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti yang tular di media sosial sejak Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menjelaskan, penahanan yang dibuat itu sebenarnya disebabkan beberapa kes atau kejadian yang meragukan.

“Dalam kes warganegara India ini, mereka bersembunyi di dalam bilik air dan duduk di tempat-tempat awam. Kenapa mereka tidak datang ke kaunter Imigresen untuk meneruskan perjalanan? Jadi, ini menimbulkan syak wasangka.

“Oleh kerana selepas pesawat berkenaan mendarat dan mereka tidak datang ke kaunter, pegawai-pegawai penguat kuasa akan pergi mendapatkan mereka. Apabila dijumpai, mereka akan dibawa ke pejabat operasi untuk disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus Imigresen bersama agensi pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di KLIA di sini pada Isnin.

Berdasarkan siasatan dilakukan ke atas warganegara asing tersebut, Khairul Dzaimee berkata, mereka sebenarnya datang ke Malaysia bukan untuk melancong, sebaliknya mempunyai niat untuk bekerja secara tidak sah.

“Mereka sendiri tidak tahu di mana tempat tinggal dan tidak mempunyai wang saku yang mencukupi.

“Mereka sendiri pun sebenarnya mengaku datang bukan untuk melancong, tetapi untuk mencari peluang bekerja. Ini telah melanggar syarat-syarat kemasukan pas lawatan sosial di negara ini.

“Justeru, semua yang terlibat di dalam video yang diviralkan itu telah dihantar pulang ataupun dikenakan tindakan Notis Tolak Kemasukan (NTL),” katanya.

Dalam video tular berkenaan, seorang wanita mendakwa pelancong India yang tiba di negara ini terpaksa menunggu dalam tempoh terlalu lama untuk urusan Imigresen di KLIA walaupun kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan sah.

Dalam video yang mula tular sejak Khamis lalu itu juga wanita tersebut turut mendakwa pelancong terbabit dipaksa duduk di atas lantai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!