Najib terus bangkit persoalan tahap kemajuan projek LCS
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendesak Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh agar menjawab soalannya berhubung tahap kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) semasa tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, meskipun beliau setuju dengan fakta dikongsikan Kar Woh dalam jawapan balas kepada hantaran di Facebooknya pada Ahad berkenaan kos projek tersebut, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menurutnya belum menjawab persoalan yang berulang kali dibangkitkannya sebelum ini.
“Memandangkan PH tangguh projek pada tahun 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum beku projek sepenuhnya pada tahun 2019, saya nak tanya buat kali kelima.
“Mengambil kira kemajuan projek sudah 44 peratus (seperti diperakui Pengerusi PAC) pada bulan Ogos 2017 pada ketika penamaan dan pelancaran ke air kapal pertama dan tahap kemajuan hanya 55.7 peratus pada bulan September 2019 ketika projek dibeku sepenuhnya selepas ditangguh kerajaan PH.
“...maka apakah kenaikan kemajuan projek dari permulaan pembinaan pada akhir tahun 2014 hingga Mei 2018 (sebelum PRU14) dan dari Mei 2018 hingga September 2019 (ketika projek dihentikan oleh kerajaan PH),” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika projek pembinaan itu dimulakan turut mempersoalkan punca menyebabkan kerajaan PH berdiam diri meskipun pembinaan kapal itu mengalami kelewatan penghantaran pada tahun 2019.
“Kerajaan PH tengok sahaja projek itu ditangguhkan dan kapal pertama tidak diserahkan seperti dijadualkan pada tahun 2019.
“Sepatutnya sebagai kerajaan masa itu mereka patut pastikan kapal diserah seperti dijadualkan, bukan tak buat apa-apa dan tak berbunyi masa itu. Langsung tak ada berita berkenaan ini ketika kerajaan PH memerintah,” ujarnya.
Katanya, projek pembinaan enam kapal LCS itu hanya disambung semula pada bulan Mei 2022 oleh kerajaan sekarang apabila kontrak penyambungan pembinaan itu ditandatangani selepas pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021.
“Lalu dijadikan isu propaganda sebelum PRU15 dengan pelbagai tohmahan kenapa kapal belum siap,” kata beliau lagi.
Laporan PAC dibentangkan Kar Woh pada Khamis lalu menyatakan di sebalik pembayaran sejumlah RM6.083 bilion untuk projek itu, kerajaan masih tidak menerima walau sebuah kapal yang telah disiapkan.
Katanya, berdasarkan jadual asal, sebanyak lima buah kapal sepatutnya disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022 menerusi projek tersebut yang nilai keseluruhannya berjumlah RM9.1 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!