Pengamal perubatan tradisional disyaki bunuh wanita didakwa esok
AMPANG - Seorang pengamal perubatan tradisional yang disyaki membunuh seorang wanita di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini pada 27 Julai lalu akan didakwa di Mahkamah Ampang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 51 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Ampang pada jam 9 pagi.
"Suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ringkas dalam kenyataan pada Isnin.
Pada 28 Julai lalu, media melaporkan seorang pengamal perubatan tradisional ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang wanita di sebuah rumah di Pandan Perdana di sini.
Difahamkan mangsa mengalami histeria sejak lapan tahun lalu dan pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital baru-baru ini.
Mangsa dipercayai datang ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan tradisional.
Mangsa ditemui dalam keadaan berbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!