Calon TPM: Azmin enggan ulas
SHAH ALAM - Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengelak menjawab mengenai desas-desus pencalonan diri beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Memetik laporan Astro Awani, beliau sebaliknya menegaskan, fokus ketika ini adalah menangani masalah ekonomi dan juga wabak Covid-19 serta menjamin serta memperkukuhkan kerajaan demi kestabilan rakyat.
"Saya nak tegaskan sekali lagi kerajaan hari ini memberi fokus dan komited untuk dua perkara penting... pertama kita komited untuk memulihkan dan mencerdaskan ekonomi negara, itu komitmen kita.
"Kedua, kita mahu menguruskan Covid-19 lebih efektif, dasar kita ambil dua tahun lalu melihat satu pertumbuhan positif dari segi ekonomi, pelaburan dan perdagangan, malah kes baharu pun sudah terkawal alhamdulillah," katanya.
Azmin berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di antara 22 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat ejen pemasaran antarabangsa di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini pada Isnin.
Pada masa sama, Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) komited untuk memperkukuhkan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau juga tidak mahu terjebak dengan politik yang merugikan rakyat.
"Saya mahu politik 'action oriented' dapat berikan khidmat kepada rakyat, pastikan kita berjaya memenuhi dua matlamat mencerdaskan ekonomi dan tangani Covid-19," katanya.
Jelas beliau lagi, kerajaan hari ini adalah kerajaan gabungan bukan satu parti seperti sebelum ini, antara gabungan parti terbesar adalah kerajaan PN.
"Kalau kita lemah, maka kerajaan PN lemah. Adalah tanggungjawab saya pastikan kerajaan ini kuat supaya dapat tangani dua isu ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!