MAHA 2022: Empat MoU, MoA bernilai RM451 juta dimeterai

Mohamed Azmin (empat dari kiri) bersama Ronald Kiandee (lima dari kiri) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara wakil Biotropics Malaysia Berhad bersama SHRF Food Industries Sdn Bhd pada majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sempena MAHA 2022 pada Isnin.
Mohamed Azmin (empat dari kiri) bersama Ronald Kiandee (lima dari kiri) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara wakil Biotropics Malaysia Berhad bersama SHRF Food Industries Sdn Bhd pada majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sempena MAHA 2022 pada Isnin.
A
A
A

SERDANG - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada Isnin menyaksikan pemeteraian empat perjanjian melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM451 juta.

Kerjasama strategik di bawah inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meneroka pasaran eksport produk berasaskan agromakanan ke luar negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemeteraian MoU dan MoA itu hari ini adalah sebahagian daripada 29 perjanjian yang akan dimuktamadkan pada MAHA 2022 kali ini.

"Perjanjian kerjasama hari ini adalah antara pelbagai pihak terdiri daripada pengusaha antarabangsa dan pengusaha tempatan serta antara pengusaha tempatan.

"Ini akan mengangkat produk tempatan dan produk keluaran PKS serta memberi ruang untuk dihantar ke negara luar melalui ejen pemasaran yang menandatangani MoU kali ini,” katanya kepada media pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini pada Isnin.

Terdahulu, majlis pemeteraian itu turut disaksikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bekerjasama dengan MAFI dalam membantu usahawan PKS menembusi pasaran global.

Menurut Azmin, kementeriannya melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mendukung usaha MAFI dalam MAHA 2022 kerana ia membantu mencerdaskan pemulihan ekonomi negara dalam sektor pertanian dan agromakanan.

"MITI melalui MATRADE akan memberi sokongan kepada usaha pemain tempatan dalam mengeksport produk makanan ke luar negara. Ini satu permulaan yang baik kerana ia beri tumpuan kepada negara di Asia Pasifik seperti Jepun, China dan Australia,” katanya.

MoA yang ditandatangani hari ini adalah antara MAPC Sdn Bhd dan Shenzen Dadongjian Ind. Co. Ltd bagi tujuan import dan eksport durian sejuk beku ke China berjumlah RM230 juta dan MoA antara 27 usahawan PKS Malaysia dan King Sight Group of Companies bagi eksport produk agromakanan ke pasaran Hong Kong dan China berjumlah RM119.14 juta.

Turut dimeterai ialah MoU antara Tiha International Hub Agency Sdn Bhd dan syarikat rakan strategik bagi mempertingkat penggunaan platform e-dagang berjumlah RM4.19 juta dan pelantikan ejen pemasar di luar negara bagi penerokaan dan peluasan pasaran eksport produk agromakanan.

Sementara itu, data daripada MAFI menyatakan bahawa setakat semalam, seramai 404,000 orang telah berkunjung ke MAHA 2022 melibatkan keseluruhan jualan mencecah RM8.8 juta.

Hari pertama (4 Ogos) MAHA 2022 berjaya menarik seramai 38,000 pengunjung dengan jualan mencecah RM415,000 dan hari kedua seramai 66,000 pengunjung dengan jumlah jualan sebanyak RM1.5 juta.

Jumlah pengunjung pada hari ketiga meningkat kepada 145,000 orang dengan jualan RM2.3 juta manakala semalam (hari keempat) mencatatkan seramai 155,000 pengunjung dengan jualan sebanyak RM4.6 juta. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!