JPJ ambil serius kemalangan libatkan kenderaan perdagangan

Gambar hiasan (Gambar kecil: Zailani Hashim)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Zailani Hashim)
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan semua pengusaha pengangkutan dan pemandu terutama kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan termasuk membuat pemeriksaaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan perdagangan terutama jenis lori rigid dan kenderaan bersendi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), mulai Januari sehingga Jun 2022, sebanyak 19,888 buah lori telah direkodkan terlibat dalam kemalangan di jalan raya seluruh Malaysia.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun 2021 iaitu 15,487 buah lori bagi tempoh yang sama.

“Hasil siasatan dilaporkan, terdapat kemalangan yang berpunca daripada masalah teknikal kenderaan itu sendiri seperti kegagalan sistem brek berfungsi dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, bagi mengurangkan peningkatan risiko kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kenderaan perdagangan, JPJ merancang tindakan bersepadu melalui pemantauan dan peningkatan intensiti penguatkuasaan ‘roadworthiness’ termasuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kenderaan dengan kerjasama Puspakom.

Katanya, ia selaras dengan Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mana setiap kenderaan perdagangan perlu menjalani pemeriksaan awalan dan berkala di Puspakom mengikut ketetapan peraturan semasa bagi memastikan kenderaan adalah selamat semasa digunakan di jalan raya.

Tegasnya, Ops Khas Roadworthiness Kenderaan Perdagangan pada Isnin menumpukan perhatian kepada penilaian standard dan tahap pematuhan pemeriksaaan di Puspakom berhubung kualiti penyelenggaraan teknikal kenderaan perdagangan ke arah memastikan kenderaan yang lulus mencapai jaminan keselamatan tinggi untuk semua pengguna jalan raya.

“Ops hari ini juga bertujuan meningkatkan literasi kepentingan penyelenggaraan berkala yang selamat iaitu sebelum, semasa dan selepas operasi di pihak syarikat secara harian,” katanya.

Zailani berkata, JPJ juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan terutamanya kegagalan melaksanakan aktiviti penyelenggaraan harian sebagaimana digariskan dalam Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).

“Kegagalan mematuhinya akan berdepan tindakan penyitaan di bawah Seksyen 64, APJ 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!