Suntikan semangat Tze Yong menjelang Kejohanan Dunia

Tze Yong bersama pingat perak setelah tewas kepada Lakshya Sen di perlawanan badminton akhir Birmingham 2022 di NEC pada Isnin. - Foto Bernama
Tze Yong bersama pingat perak setelah tewas kepada Lakshya Sen di perlawanan badminton akhir Birmingham 2022 di NEC pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PINGAT perak tanpa dugaan pada temasya Sukan Komanwel 2022 Birmingham, menjadi tonik terbaik bagi pemain badminton perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong, menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo, bermula 22 hingga 28 Ogos ini.

Pemain berusia 22 tahun itu berhasrat mengekalkan momentum pada penampilan sulung bersaing dengan pemain elit dunia di Tokyo selepas layak beraksi susulan penarikan diri pemain dari negara lain.

Tze Yong meraih perak selepas tewas 21-19, 9-21, 16-21 kepada pemain utama India, Lakshya Sen dalam pertarungan sengit selama 81 minit di pentas akhir.

Sebelum ini, Tze Yong menggantikan Lee Zii Jia berikutan penarikan diri pemain perseorangan profesional tersebut daripada temasya itu.

"Tak jangka menang (pingat perak), sejujurnya saya puas hati dengan Sukan Komanwel kali ini kerana rasa berada di tahap terbaik di sini.

"Saya tidak pasti sama ada boleh berbuat demikian (mengekalkan prestasi) dalam kejohanan akan datang tetapi berharap dapat membawa momentum ini ke Kejohanan Dunia.

Pingat perak ini pasti mendorong saya untuk memberi cabaran di Tokyo," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat, pada Isnin.

Pemain nombor 42 dunia, Tze Yong juga berharap dapat meningkatkan stamina selain beraksi menentang pemain ranking teratas seterusnya dalam usaha menimba lebih banyak pengalaman bermain di peringkat intensiti tinggi.

Dalam pada itu, pemain berusia 22 tahun itu telah meletakkan sasaran untuk menembusi ranking kelompok 30 pemain teratas dunia menjelang akhir tahun ini.

Anak Johor itu berkata, membantu Malaysia merampas pingat emas cara berpasukan campuran daripada India selepas menang 3-1 Selasa lalu, sememangnya satu pencapaian yang sukar dilupakan di sini selain melangkah ke tempat kedua podium untuk pingat perak.

Beliau berharap rakyat Malaysia akan tetap bersamanya ketika jatuh bangun dalam kariernya dan mengucapkan terima kasih kepada mereka, jurulatih dan keluarga atas sokongan selama ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!