Pindah kilang di Pasir Gudang tidak praktikal: Khaled

Khaled Nordin
Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengumuman Menteri Besar, Datuk Osman Sapian untuk memindah dan menempatkan kilang-kilang yang beroperasi di Pasir Gudang, diselar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, keputusan yang diambil susulan pencemaran Sungai Kim Kim itu adalah contoh nyata betapa tersasar dan kelirunya pemikiran kerajaan pimpinan Osman.

"Pasir Gudang semenjak dari awal lagi telah di bangunkan sebagai kawasan perindustrian.

"Kedudukannya adalah sangat strategik dan telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat sektor perindustrian Johor.

"Ia juga terletak berhampiran Pelabuhan Johor dan menjadikan ia sangat ideal untuk aktiviti pembuatan dan perindustrian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kawasan industri tersebut telah menyumbang kepada ratusan ribu peluang pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi eksport yang sangat besar kepada pendapatan Johor dan juga negara.

Katanya, peristiwa pencemaran kimia di Sungai Kim-Kim adalah tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu tertentu.

"Meletakkan kesalahan kepada pemain industri lain di kawasan Pasir Gudang adalah sangat tidak adil dan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Jalan terbaik ialah untuk memastikan penguatkuasaan standard alam sekitar di pertingkatkan secara radikal," katanya.

Beliau berkata, melalui penguatkuasaan standard dan piawaian alam sekitar mengikut tanda aras termaju dan terbaik, kelestarian alam sekitar akan dapat dikekalkan tanpa mengekang kemajuan perindustrian Johor.

"Singapura adalah contoh terbaik di mana sektor perindustriannya adalah sangat pesat dan maju tetapi sangat lestari dengan alam sekitar.

"Perlu diingat bahawa Johor adalah ekonomi yang masih membangun. Sektor perindustrian terutama pembuatan adalah asas utama daya saingnya," katanya.

Mohamed Khaled berkata, cadangan memindahkan kilang-kilang di Pasir Gudang adalah langkah tidak praktikal dan mundur ke belakang.

"Pada waktu yang sama, adalah tidak mungkin untuk kerajaan memaksa kilang-kilang tersebut berpindah kerana ia akan melibatkan kos yang sangat luar biasa tingginya kepada pengilang.

"Kenyataan Osman adalah contoh nyata bagaimana keputusan dasar kerajaan diumumkan tanpa kajian mendalam, sahih dan tepat," katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, kerajaan negeri perlu diingatkan bahawa jawapan kepada masalah pencemaran alam sekitar dan pematuhan standard kelestarian terbaik adalah pada sains dan undang-undang dan bukannya tindakan politik yang cetek, tidak berpandangan jauh dan populis.

"Pasir Gudang harus kekal sebagai kawasan perindustrian dengan usaha gigih memastikan kelestarian alam sekitarnya dilakukan tanpa kompromi.

"Tanpa Pasir Gudang, ratusan ribu lagi penduduk Johor akan ke Singapura mencari kehidupan. Johor kemudiannya akan terus jadi laman belakang yang malap kepada Singapura yang semakin menyinga," katanya.

Selain itu, beliau berkata, tidak dapat dibayangkan Pasir Gudang tanpa kedinamikan industrinya dalam Johor yang semakin pudar dari radar kepesatan ekonomi negara.

ARTIKEL BERKAITAN Pindah kilang di Pasir Gudang ke lokasi lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!