China masih berdegil

Stesen penyiaran CCTV menyiarkan sebuah pesawat China berlegar di ruang udara berhampiran Taiwan.
Stesen penyiaran CCTV menyiarkan sebuah pesawat China berlegar di ruang udara berhampiran Taiwan.
A
A
A

BEIJING - China dilaporkan masih menjalankan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan pada Isnin yang sekali gus mengingkari gesaan untuk menamatkan latihan terbesarnya selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi di pulau tersebut minggu lepas.

Beijing turut menghantar jet pejuang, kapal perang dan peluru berpandu balisitik ke sekeliling pulau itu.

Penganalisis menyifatkan ia sebagai cara untuk melakukan sekatan dan ‘pencerobohan muktamad’ di pulau ditadbir sendiri yang didakwa China sebagai sebahagian wilayahnya.

Latihan dijangka berakhir pada Ahad, namun Beijing dan Taipei tidak mengesahkan sebarang tindakan lanjut aktiviti tersebut.

Kementerian Pengangkutan Taiwan bagaimanapun berkata, aktiviti tersebut semakin ‘berkurangan’.

China pula menegaskan mereka masih meneruskan latihan di laut dan ruang udara sekitar Taiwan dengan menumpukan operasi antikapal selam dan serangan laut bersepadu.

Mereka turut melaksanakan latihan tembakan pada Isnin di beberapa bahagian di Laut China Selatan dan Laut Kuning.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Taiwan mengesahkan China mengerahkan pesawat, kapal dan dron di luar perairan pulau berkenaan.

Katanya, pihaknya telah mengesan 66 pesawat dan 14 kapal perang di Selat Taiwan dengan 22 daripadanya melintasi garis tengah dan kawasan sempadan tidak rasmi yang memisahkan Taiwan dan China. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!